PETALING JAYA – Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 9.30 pagi ini, dengan Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 172.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU 168, diikuti Bukit Rambai, Melaka dengan bacaan sama.
Alor Gajah, Melaka mencatatkan bacaan 165, manakala Seremban, Negeri Sembilan, Bandaraya Melaka dan Tangkak, Johor masing-masing merekodkan IPU 164.
Batu Muda, Kuala Lumpur dan Pasir Gudang, Johor pula mencatatkan bacaan 162, diikuti Petaling Jaya, Selangor dengan 160.
Selain itu, Klang, Selangor, Batu Pahat, Johor dan Rompin, Pahang masing-masing merekodkan bacaan 158, manakala Kota Tinggi, Johor mencatatkan 157.
Banting, Selangor merekodkan bacaan 156, diikuti Cheras, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 155. Shah Alam pula mencatatkan bacaan 154.
Port Dickson, Negeri Sembilan, Kluang dan Larkin, Johor serta Serian, Sarawak masing-masing merekodkan bacaan 153, manakala Kuching mencatatkan 152.
Indera Mahkota, Kuantan merekodkan bacaan 149, diikuti Pengerang, Johor (132), Samarahan, Sarawak (128) dan Seri Manjung, Perak (115).
Sementara itu, sebanyak 38 kawasan lagi berada pada tahap sederhana, manakala tiga kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh meningkatkan risiko kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan atau jantung.
Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti fizikal di luar bangunan, mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar dan memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di kawasan terjejas.
Orang ramai juga boleh memantau perubahan bacaan IPU melalui portal rasmi APIMS bagi mendapatkan maklumat terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.
