NARATHIWAT (THAILAND) – Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla mengesan antara 20 hingga 30 surat pengesahan sijil nikah palsu setiap tahun yang membabitkan pasangan rakyat Malaysia melangsungkan perkahwinan di Selatan Thailand.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pemalsuan dokumen itu biasanya terbongkar apabila Mahkamah Syariah di Malaysia membuat semakan silang dengan pihak konsulat ketika pasangan terbabit mahu mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.
Menurutnya, kegiatan tersebut masih berlaku walaupun jumlah sindiket pernikahan di Selatan Thailand dilaporkan semakin berkurangan.
“Setiap pasangan yang mendaftarkan pernikahan di pejabat konsulat diberi surat pengesahan bagi membuktikan sijil nikah yang dikeluarkan oleh majlis agama Islam di Selatan Thailand adalah sah.
“Namun, masih ada pihak tertentu yang memalsukan surat pengesahan berkenaan. Secara purata, kami mengesan antara 20 hingga 30 surat pengesahan palsu setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ramah Mesra Konsul Jeneral Malaysia bersama pelajar Sekolah Agama Islam Sirithamwittaya (Pondok Duku), Kampung Duku, Daerah Bacho, di sini.
Ahmad Fahmi berkata, pihak konsulat turut mengesan pasangan rakyat Malaysia yang memasuki Selatan Thailand secara tidak sah tanpa menggunakan pasport atau pas lawatan bagi melangsungkan perkahwinan.
Katanya, semua majlis agama Islam di Selatan Thailand telah diminta supaya tidak menikahkan pasangan yang memasuki negara berkenaan tanpa melalui saluran yang sah.
“Kami juga tidak melayan permohonan pendaftaran pernikahan atau mengeluarkan surat pengesahan sijil nikah kepada pasangan yang menggunakan khidmat sindiket atau melanggar undang-undang Malaysia dan Thailand.
“Tanpa surat pengesahan ini, pasangan terbabit akan berdepan kesukaran untuk mendaftarkan perkahwinan di Mahkamah Syariah Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan mendaftarkan perkahwinan secara sah boleh menimbulkan masalah lebih besar pada masa depan, khususnya berkaitan status dan urusan anak yang dilahirkan daripada perkahwinan berkenaan.
