IPU MENINGKAT, KPM UTAMAKAN KESELAMATAN MURID

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau perkembangan jerebu dan memastikan keputusan penutupan sekolah dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta keadaan semasa di setiap kawasan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan berhubung penutupan sekolah perlu mengambil kira perubahan kualiti udara mengikut masa dan lokasi bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, KPM memahami kebimbangan ibu bapa yang mencadangkan supaya sekolah ditutup untuk beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga, justeru maklumat berkaitan keputusan penutupan akan disampaikan seawal mungkin.

Menurutnya, pengurusan jerebu turut membabitkan pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan panduan risiko kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala KPM memberi tumpuan kepada keselamatan murid serta kelancaran operasi sekolah.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) JAS, sebanyak 23 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat pukul 10 pagi, dengan Kota Tinggi, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 170.

Antara kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Seremban, Negeri Sembilan pada paras 166, Nilai (164), Balok Baru, Kuantan (162), Kemaman (156), Tangkak (155) dan Bukit Rambai, Melaka (154).

Keadaan itu menunjukkan kepentingan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya kualiti udara semakin merosot.

Fadhlina berkata, pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan gangguan persekolahan boleh menjejaskan pembelajaran murid, termasuk meningkatkan risiko keciciran pembelajaran yang masih perlu ditangani.

Katanya, tempoh pembelajaran yang hilang sukar diganti sepenuhnya, lebih-lebih lagi apabila kemudahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak dapat dinikmati secara sama rata oleh semua murid.

Dalam pada itu, murid yang tinggal di asrama disarankan kekal berada di asrama ketika sekolah ditutup akibat jerebu, selagi keadaan persekitaran selamat dan kebajikan mereka terjamin.

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menguruskan perjalanan mengambil dan menghantar anak sekiranya penutupan sekolah berubah mengikut keadaan semasa.

KPM akan meneruskan pemantauan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa bagi memastikan setiap keputusan dapat difahami dan diambil tindakan dengan sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *