PETALING JAYA – Sebanyak 500,000 saman bernilai kira-kira RM150 juta telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada warga asing yang melakukan kesalahan jalan raya sejak 2023 menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA).
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah itu berdasarkan kadar maksimum RM300 bagi setiap saman, membabitkan kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans.
Menurutnya, pendekatan penguatkuasaan JPJ kini diperketatkan apabila kenderaan yang dipandu warga asing dan didapati melanggar peraturan boleh disita serta-merta, berkuat kuasa Julai lalu.
Beliau berkata, pemilik dan pemandu kenderaan terbabit juga boleh dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
“Bila kita keluarkan saman, perkara ini tidak berakhir di situ. Mulai Julai tahun ini, kita telah mengubah pendekatan. Kes berkenaan perlu diselesaikan di mahkamah dan sekiranya tidak diselesaikan, kenderaan terbabit tidak akan dibenarkan berada di jalan raya,” katanya dalam audio siar PodX Utusan Malaysia, semalam.
Muhammad Kifli berkata, Op PeWA bukan hanya melibatkan pelancong, malah turut menyasarkan pekerja asing yang memandu kenderaan tanpa mengikuti kelas atau prosedur pemanduan yang sah.
Katanya, terdapat warga asing yang masih menganggap peraturan jalan raya di Malaysia sama seperti di negara asal mereka sehingga melakukan pelbagai kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keberkesanan operasi turut bergantung kepada kerjasama pemilik kenderaan tempatan supaya tidak menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa memastikan pematuhan undang-undang.
Menurutnya, JPJ turut mengarahkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap setiap pemandu warga asing yang ditahan.
Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan motosikal untuk membawa besi buruk dan barangan terpakai, selain memandu tanpa lesen atau Lesen Kenderaan Barang-barangan (GDL).
Katanya, unit risikan JPJ turut mengenal pasti lokasi tumpuan pemandu warga asing di beberapa negeri termasuk Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pemeriksaan mendapati warga asing terbabit tidak mempunyai permit sah atau melakukan kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa, perkara itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
