UPNM JAMIN BANTUAN, TIADA PELAJAR TERCICIR

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memberi jaminan bahawa masalah kewangan tidak akan menjadi penghalang kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian apabila pelbagai bentuk bantuan disediakan khusus kepada golongan yang memerlukan.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, universiti komited memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara menerusi bantuan kewangan kepada pelajar daripada golongan B40, asnaf serta mereka yang berdepan kesukaran akibat bencana atau kecemasan.

Menurut beliau, bantuan itu merangkumi keseluruhan tempoh pengajian, bermula sebelum pendaftaran, ketika kemasukan ke universiti, sepanjang mengikuti pengajian sehingga pelajar menamatkan pengajian.

“Jangan jadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk menguburkan cita-cita menyambung pengajian. UPNM sentiasa berusaha memastikan pelajar yang layak menerima sokongan sewajarnya agar dapat menumpukan perhatian kepada akademik,” katanya ketika Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu sempena Minggu Perkasa Jati Diri (MPJD) Diploma 2026 di kampus UPNM, hari ini.

Beliau turut menggesa pelajar dan ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang mengenai kos pengajian kerana universiti sentiasa mengutamakan kebajikan mahasiswa sebagai antara agenda utama institusi.

Dalam majlis sama, seramai 272 pelajar baharu program diploma melafazkan ikrar sebagai simbol komitmen untuk menjunjung disiplin, integriti, kecemerlangan serta semangat patriotisme sepanjang bergelar mahasiswa UPNM.

Daripada jumlah itu, seramai 146 pelajar mengikuti Diploma Kecergasan Pertahanan, diikuti Diploma Pengurusan Logistik (50), Diploma Pentadbiran Perniagaan (44) dan Diploma Tahfiz dan Tafsir al-Quran (32).

Arman Rumaizi berkata, lafaz ikrar bukan sekadar simbolik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, disiplin dan tanggungjawab sepanjang berada di universiti.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap akademik dan pembentukan jati diri kerana segala kemudahan pembelajaran serta keperluan pengajian disediakan oleh pihak universiti.

Bagi sesi kemasukan tahun ini, UPNM dijangka menerima seramai 1,004 pelajar baharu bagi program Asasi dan Diploma, manakala kira-kira 1,600 pelajar Sarjana Muda dijadualkan mendaftar pada September depan, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan masyarakat terhadap peranan universiti itu dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *