PUTRAJAYA – Seramai 460,771 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober ini bagi mengenal pasti tahap penguasaan pembelajaran, khususnya dalam aspek literasi dan numerasi.
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM), Ab Aziz Mamat berkata, MPT4 merupakan pengukuran tahap pembelajaran yang diperkenalkan buat kali pertama dan dilaksanakan berasaskan konsep pentaksiran untuk pembelajaran.
Menurut beliau, dapatan MPT4 akan membantu guru, sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenal pasti kekuatan serta jurang pembelajaran murid bagi membolehkan intervensi awal dan sokongan berfokus dilaksanakan.
“Apabila kita menilai seseorang murid pada Tahun 4, kita mempunyai ruang dan peluang untuk membantu mereka apabila melangkah ke Tahun 5 dan seterusnya Tahun 6.
“Data yang diperoleh menerusi MPT4 boleh digunakan oleh pihak sekolah untuk merancang dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi membantu murid yang memerlukan sokongan pembelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ab Aziz berkata, ibu bapa juga tidak perlu bimbang sekiranya anak tidak memperoleh skor tinggi kerana MPT4 bukan peperiksaan atau pentaksiran berimpak tinggi.
Sebaliknya, katanya, MPT4 bertujuan menyediakan maklumat berkaitan tahap pembelajaran murid supaya sokongan di sekolah dan di rumah dapat disesuaikan dengan keperluan masing-masing.
“Maklumat pentaksiran ini akan membantu KPM, JPN, PPD, sekolah dan guru merancang tindakan susulan serta intervensi yang lebih sesuai dengan keperluan pembelajaran murid.
“Maklumat ini juga membantu ibu bapa memberi sokongan pembelajaran di rumah,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa tidak seharusnya memberikan tekanan kepada anak-anak untuk mencapai skor tertentu kerana pelaporan MPT4 bukan bertujuan membandingkan pencapaian antara murid atau sekolah.
Dalam pada itu, Ab Aziz menjelaskan keputusan MPT4 tidak digunakan sebagai kriteria kemasukan ke sekolah khusus kerana ia bukan peperiksaan pemilihan atau penentuan penempatan murid.
Katanya, kemasukan ke sekolah khusus kekal menggunakan kaedah sedia ada menerusi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
“MPT4 melengkapi maklumat pentaksiran lain yang diperoleh guru melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), sekali gus memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai keperluan pembelajaran murid,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama MPT4 adalah mengenal pasti tahap penguasaan pembelajaran, mengesan jurang pembelajaran lebih awal serta memastikan sokongan dan intervensi dapat dilaksanakan secara lebih bersasar.
