14 TAHUN PENJARA: KEADILAN BUAT JAHIDAH


PUTRAJAYA — Mahkamah Rayuan semalam menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap seorang peniaga, Rosmaini Abdul Raof, selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah sehingga bekas isterinya, Jahidah Nordin @ Sylvester, kini berada dalam keadaan vegetatif kekal.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman daripada 10 tahun yang diputuskan sebelum ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan sebanyak RM25,000 kepada mangsa melalui wakil keluarganya.

Dalam penghakiman, Hakim Noorin menegaskan kes tersebut bukan kecederaan biasa, sebaliknya melibatkan “kemusnahan dua kehidupan” termasuk anak dalam kandungan mangsa ketika kejadian.

“Mangsa kini hidup hanya pada nama tanpa keupayaan berfungsi secara bermakna, manakala anak yang dilahirkan turut mengalami kelewatan perkembangan akibat insiden itu,” katanya.

Mahkamah mendapati serangan yang dilakukan adalah kejam dan berterusan terhadap mangsa yang ketika itu hamil 10 minggu, menyebabkan kecederaan serius termasuk pendarahan otak, patah tulang dan kerosakan neurologi kekal.

Tambahnya, tertuduh juga gagal menunjukkan sebarang penyesalan serta tidak memberikan bantuan kepada mangsa selepas kejadian, selain kesalahan itu berlaku dalam konteks keganasan rumah tangga yang melanggar kepercayaan dalam perkahwinan.

Sementara itu, reaksi keluarga mangsa mencerminkan kelegaan walaupun kesedihan masih dirasai.

Adik mangsa, Fauziah Nordin berkata, keputusan mahkamah itu menimbulkan perasaan bercampur baur antara syukur dan sebak selepas sekian lama menjaga kakaknya yang uzur.

“Saya menangis apabila baca hukuman 14 tahun. Walaupun tidak setimpal dengan apa yang dilalui kakak, kami bersyukur,” katanya.

Menurutnya, Jahidah yang kini tidak mampu bercakap dilihat menunjukkan perubahan emosi sebaik dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

“Kakak nampak tenang, dan air matanya menitis. Saya percaya dia faham apa yang berlaku,” ujarnya.

Fauziah turut memaklumkan pampasan yang diperintahkan mahkamah akan digunakan untuk kebajikan anak Jahidah, Eshan Nufail yang kini berusia lima tahun.

Kes berkenaan bermula pada 4 Mei 2021 apabila tertuduh didakwa memukul dan menendang mangsa di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor Bahru sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A, yang membolehkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum.

Mahkamah menegaskan hukuman berat itu penting sebagai mesej pencegahan terhadap kes keganasan rumah tangga, selain memastikan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan terus terpelihara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *