PAS DAKWA PH TUMBANG, KERAJAAN KEKAL KUKUH

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendakwa Pakatan Harapan (PH) berdepan kemungkinan kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dengan perkembangan politik di beberapa negeri didakwa memberi gambaran terhadap perubahan sokongan rakyat.

Naib Presidennya, Dato’ Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan antara perkara yang perlu diberikan perhatian dalam menilai perkembangan politik semasa.

Beliau turut mendakwa momentum berkenaan boleh menjadilebih ketara sekiranya perkembangan politik di Melaka berlaku seperti yang dirancang PAS.

Selain tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran di Pulau Pinang.

“Kalau di Melaka ini berjalan sepertimana kita rancang.

“Maka gelombang tersebut semakin kuat. 

“Malah di Pulau Pinang juga berkemungkinan bakal menyaksikan kejatuhan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Ilmu.

Mohd. Amar turut mengaitkan perkembangan berkenaan dengan keputusan DAP untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, pendirian kerajaan mengenai isu berkenaan adalah jelas apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuasa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Di mana ianya selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan turut menegaskan bahawa keputusan pengampunan bersyarat itu tidak mengubah pendirian terhadap pembanterasan rasuah.

Dengan semua kes termasuk kes yang masih berjalan akan terus diproses mengikut landasan undang-undang.

Pada 18 September lalu, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Namun, ianya tertakluk antaranya kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.

Sekiranya syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan tersebut terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya mendoakan agar Najib diberikan kesihatan yang baik.

Malah, beliau juga percaya pengalaman dan pandangan bekas Perdana Menteri itu masih boleh disumbangkan demi kebaikan negara.

Perkembangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Kerajaan MADANI yang menegaskan kepentingan kestabilan, keluhuran Perlembagaan dan penghormatan terhadap institusi negara dalam menguruskan isu politik serta perundangan.

Sementara itu, Mohd. Amar turut menyentuh isu krisis adatdi Negeri Sembilan dengan menyifatkan penjelasan kerajaan negeri kepada rakyat sebagai penting.

Terutamanya bagi memperbetulkan naratif berhubung kedudukan Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam isu tersebut.

Beliau juga mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim perlu menjelaskan bahawa keputusan berkaitan institusi Yang Dipertuan Besar adalah keputusan Undang Yang Empat.

Manakala Menteri Besar dan barisan Exco hanya melaksanakan perintah.

Secara keseluruhannya, perkembangan politik semasa menunjukkan persaingan antara blok politik semakin menjadi perhatian menjelang pilihan raya akan datang.

Namun, dakwaan mengenai perubahan sokongan rakyat masih perlu dinilai berdasarkan keputusan pilihan raya sebenar dan perkembangan politik semasa.

Dan yang paling jelas, bukannya berdasarkan andaian mana-mana parti.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=G77hGOnraAA&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *