BOGOTA – Colombia mengisytiharkan darurat selepas gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 menggegarkan bahagian barat negara itu semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 111 orang dan mencederakan 87 yang lain.
Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, berkata kerajaan mengerahkan seluruh sumber bagi menjalankan operasi menyelamat, membantu mangsa serta menyalurkan bantuan ke kawasan yang terjejas.
Gempa berlaku pada 7.34 pagi waktu tempatan Isnin dengan pusat gegaran dikesan berhampiran San Jose del Palmar di wilayah Choco, pada kedalaman kira-kira 100 kilometer. Gegaran kuat itu turut dirasai di Bogota serta negara jiran termasuk Ecuador dan Panama.
Pihak berkuasa melaporkan 1,575 rumah dan kemudahan awam mengalami kerosakan, manakala beberapa bangunan runtuh di bandar yang terjejas. Pasukan penyelamat masih melakukan pencarian bagi mengesan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Antara kawasan paling teruk terjejas ialah Cali, Pereira dan Manizales. Di Cali, beberapa bangunan dilaporkan runtuh, manakala sebuah menara katedral ikonik di Manizales mengalami kerosakan teruk akibat gegaran.
Kejadian turut menjejaskan sistem komunikasi di beberapa bandar apabila kesesakan rangkaian menyebabkan penduduk sukar menghubungi perkhidmatan kecemasan. Penduduk di beberapa kawasan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing kerana bimbang berlaku gegaran susulan.
Operasi penerbangan turut terjejas apabila enam lapangan terbang di barat Colombia menggantung operasi bagi memastikan keselamatan penumpang dan petugas.
Semua perlawanan bola sepak profesional yang dijadualkan turut ditangguhkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan bencana berkenaan.
Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Mexico, Ecuador dan Perancis antara pihak yang menawarkan bantuan kepada Colombia. EU turut mengaktifkan perkhidmatan satelit Copernicus bagi membantu pasukan penyelamat memetakan kawasan terjejas.
Pihak berkuasa memberi amaran jumlah korban masih boleh meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di beberapa lokasi, manakala kerajaan memberi jaminan bahawa bantuan akan disalurkan kepada semua komuniti yang terjejas.
