TCRS BERI NAFAS BAHARU, MENU UNIK CURI PERHATIAN

KUALA LUMPUR – Selepas 26 tahun menghidangkan sajian kepada rakyat Malaysia, The Chicken Rice Shop (TCRS) kini tampil dengan evolusi baharu jenama menerusi pendekatan lebih segar, namun kekal mempertahankan cita rasa yang menjadi identitinya sejak 1999.

Sempena ulang tahun ke-26, TCRS memperkenalkan wajah baharu jenama sebagai sebahagian daripada usaha meneruskan legasi sedia ada selain menyesuaikan pengalaman menjamu selera dengan kehendak pelanggan masa kini.

Evolusi itu turut diserikan dengan pengenalan beberapa menu baharu yang mengetengahkan gabungan cita rasa tempatan, elemen moden dan persembahan lebih kreatif.

Antara yang mencuri perhatian ialah BBQ Chicken Mayo Pai Tee, yang menggabungkan ayam berperisa barbeku dengan mayonis dalam kulit pai tee rangup, menawarkan kombinasi rasa berasap, berkrim dan tekstur yang berbeza.

Penang Rojak Pai Tee pula membawa inspirasi rojak Pulau Pinang ke dalam sajian pai tee, dengan gabungan rasa manis, masam dan segar yang memberikan kelainan kepada hidangan tradisional berkenaan.

Bagi penggemar sayuran, Spicy Savoury Long Beans mengetengahkan kacang panjang dengan perencah pedas dan berperisa savoury, sesuai dinikmati sebagai pelengkap hidangan utama.

Untuk pencuci mulut, Fruit Cocktail menawarkan pilihan yang lebih menyegarkan, manakala Kunafa Strawberry Pai Tee menggabungkan elemen kunafa yang rangup dengan rasa strawberi dalam kulit pai tee yang unik.

Turut diperkenalkan ialah Cakoi with Pandan Gula Melaka, yang menampilkan cakoi rangup bersama padanan pandan dan gula Melaka, mengetengahkan gabungan rasa tradisional yang dekat dengan selera tempatan.

Menurut TCRS, pengenalan menu berkenaan bukan sekadar menambah pilihan kepada pelanggan, sebaliknya mencerminkan usaha jenama itu menggabungkan warisan makanan tempatan dengan idea baharu yang lebih kreatif.

Evolusi TCRS turut merangkumi perancangan kempen serta inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan dalam tempoh akan datang, sekali gus memberi gambaran mengenai hala tuju jenama selepas lebih dua dekad beroperasi.

Walaupun tampil dengan pendekatan baharu, TCRS menegaskan warisan, cita rasa dan pengalaman yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan pelanggan tetap menjadi asas kepada perjalanan seterusnya.

Selepas 26 tahun mencipta nama, langkah itu dijangka menjadi titik permulaan kepada fasa baharu TCRS dalam memperkukuh kedudukan sebagai jenama makanan tempatan yang terus dekat dengan rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *