TAMPAR PELAJAR, GURU DIARAH BAYAR RM88,069

KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan seorang pesara guru membayar ganti rugi keseluruhan RM88,069 kepada bekas pelajarnya selepas didapati menampar remaja berkenaan sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran di dalam kelas, tujuh tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Rosli Yusoff, membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan Mohamad Adam Maidin, 21, bersama ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, terhadap guru terbabit dan tiga defendan lain.

Guru berkenaan, Isamuddin Ismail, 63, yang ketika kejadian merupakan Penolong Kanan Pentadbiran dan guru mata pelajaran Sejarah, didapati melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan dan kiri dari arah belakang.

Mohd. Rosli berkata, mahkamah mengambil kira keterangan doktor serta beberapa ujian pendengaran yang dijalankan terhadap mangsa bagi membuktikan kecederaan dialaminya susulan kejadian berkenaan.

Menurutnya, sebagai seorang pendidik, guru terbabit mempunyai tanggungjawab untuk mengambil langkah berhati-hati dan memastikan keselamatan pelajar ketika berada di sekolah.

Kejadian berlaku pada 28 Januari 2019 kira-kira pukul 10.30 pagi ketika Mohamad Adam berusia 14 tahun dan berada di Tingkatan Dua. Mangsa ketika itu dikatakan sedang berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru berkenaan datang dari arah belakang lalu menamparnya sebanyak empat kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga selain mengadu pening, masalah pendengaran serta bunyi berdesing dalam telinga.

Laporan perubatan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma dipercayai berpunca daripada tamparan.

Lebih membimbangkan, kejadian tersebut turut memberi kesan emosi kepada mangsa sehingga menyebabkan dia trauma dan terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah berkenaan.

Peguam plaintif, Mohd. Syukran Mohd. Noordin, berkata jumlah RM88,069 itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan, RM11,250 ganti rugi teruk serta faedah dan kos berjumlah RM20,000.

Saman sivil itu difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Selain guru terbabit, pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan berkenaan dan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim.

Sementara itu, Noor Azleen berkata, dia menyedari perubahan pada anaknya selepas Mohamad Adam pulang dari sekolah pada hari kejadian apabila wajahnya kelihatan merah, murung dan tidak bermaya selain mengadu sakit kepala.

Katanya, seorang rakan sekelas anaknya kemudian memaklumkan bahawa Mohamad Adam telah ditampar guru berkenaan dan menyarankan supaya mangsa dibawa mendapatkan rawatan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anaknya berasa takut untuk kembali ke sekolah sehingga keputusan terpaksa dibuat untuk memindahkannya ke sekolah lain.

Kes berkenaan menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan emosi pelajar perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam persekitaran pendidikan, manakala sebarang tindakan disiplin terhadap murid perlu dilaksanakan secara wajar dan bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *