PETALING JAYA – Lebih 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Mara Career Crafting 2026 Southern Chapter yang berlangsung selama dua hari di TVETMARA Johor Bahru bermula esok.
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas akses kepada pekerjaan berkualiti, khususnya dalam bidang profesional dan berkemahiran tinggi.
Berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA, program berkenaan dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada graduan Institusi Pendidikan MARA (IPMA), institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), lepasan SPM serta orang awam.
Menurut MARA, sebanyak 30 syarikat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dengan menawarkan peluang kerjaya kepada pemegang Sijil dan ke atas, diploma serta ijazah sarjana muda.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan meliputi pelbagai sektor strategik termasuk teknologi tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), logistik, teknologi maklumat, pusat data, kewangan, pembuatan, elektronik serta kejuruteraan,” menurut kenyataan itu.
Antara syarikat yang terlibat ialah Super Micro Computer Malaysia Sdn. Bhd., Epson Precision (Johor) Sdn. Bhd., Rohde & Schwarz Technologies Sdn. Bhd., Celestica Electronics (M) Sdn. Bhd., V.S. Industry Berhad dan Wiwynn Technology Services Malaysia Sdn. Bhd.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), selain menyediakan pelbagai aktiviti pembangunan kerjaya seperti ceramah industri, bengkel penulisan resume dan sesi perkongsian bersama alumni.
Pencari kerja juga berpeluang berinteraksi secara terus dengan majikan menerusi temu duga terbuka, pengambilan segera serta zon tawaran kerja pada hari sama.
Selain itu, penganjur menyediakan pameran inovasi, pertunjukan pertempuran robot, lawatan ke bengkel TVETMARA dan jualan trak makanan bagi memberikan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung.
MARA berkata, penganjuran program itu diharap dapat membantu graduan dan pencari kerja merancang laluan kerjaya dengan lebih jelas, meningkatkan keyakinan serta mempercepatkan penyertaan tenaga kerja mahir tempatan dalam memenuhi keperluan industri.
Usaha berkenaan turut dilihat memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan industri, sekali gus menyokong pembangunan bakat tempatan yang selari dengan keperluan ekonomi negara.
