SERANGAN JANTUNG BERLALU, TRAUMA BELUM TENTU REDA

PETALING JAYA – Kejayaan membuka saluran darah tersumbat menerusi angioplasti atau pemasangan stent bukan bermakna perjalanan pemulihan pesakit selepas serangan jantung sudah berakhir.

Sebaliknya, sesetengah pesakit berdepan cabaran dari sudut emosi apabila rasa takut serangan berulang menyebabkan mereka hilang keyakinan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Situasi itu boleh menyebabkan aktiviti harian seperti menaiki tangga, memandu, bersenam atau keluar bersendirian yang sebelum ini mudah dilakukan tiba-tiba menimbulkan kebimbangan.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Bukit Tinggi Klang (BTMC), Dr. Yew Kuan Leong berkata, pemulihan pesakit sebenarnya bermula sebelum mereka meninggalkan hospital dan tidak hanya bergantung kepada kejayaan prosedur perubatan.

“Pemulihan sebenarnya bermula sebelum pesakit meninggalkan hospital. Ia bukan sekadar mengenai prosedur angioplasti atau pemasangan stent yang berjaya, tetapi juga mengenai apa yang dilakukan oleh pesakit selepas itu,” katanya.

Menurut beliau, pesakit perlu meneruskan pengambilan ubat seperti ditetapkan, mengamalkan gaya hidup sihat dan menyertai program rehabilitasi jantung sekiranya sesuai.

Tempoh pemulihan pula berbeza mengikut keadaan individu, dengan sesetengah pesakit mampu kembali kepada rutin harian dalam beberapa minggu, manakala yang lain memerlukan tempoh lebih panjang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Kardiologi BTMC, Dr. Shathiskumar Govindaraju berkata, serangan jantung bukan sekadar kejadian fizikal, malah boleh menjadi pengalaman traumatik yang memberi kesan kepada emosi pesakit.

Katanya, pesakit mungkin mengalami rasa takut, sedih, mudah marah, sukar tidur atau terlalu peka terhadap degupan jantung sehingga sering memikirkan kemungkinan serangan berulang.

“Saya bukan sahaja bertanya, ‘Bagaimana keadaan dada anda?’ Saya juga ingin tahu, ‘Bagaimana dengan tidur anda? Bagaimana perasaan anda? Adakah anda takut?’” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan perlu diberi perhatian apabila ia mula menghalang pesakit daripada menjalani kehidupan seperti biasa, termasuk mengelakkan senaman, perjalanan dan aktiviti sosial atau terlalu kerap memeriksa denyutan nadi.

Namun, pesakit tidak seharusnya membuat diagnosis sendiri sekiranya mengalami gejala baharu.

Sakit dada yang baharu atau semakin teruk, sesak nafas atau pengsan memerlukan pemeriksaan perubatan segera bagi memastikan keadaan itu bukan tanda masalah jantung berulang.

Dr. Shathiskumar turut mengingatkan keluarga supaya tidak memperlekehkan ketakutan pesakit, sebaliknya memberikan sokongan berdasarkan nasihat doktor.

Jika kebimbangan, kemurungan atau gangguan tidur berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan harian, pesakit disaran berbincang dengan doktor.

Dr. Kuan Leong pula menasihatkan pesakit yang telah disahkan stabil supaya kembali aktif secara berperingkat tanpa memaksa diri.

“Jangan takut, tetapi bersabarlah dan lakukannya selangkah demi selangkah,” katanya.

Program rehabilitasi jantung turut boleh membantu pesakit meningkatkan kecergasan, mengawal faktor risiko serta membina semula keyakinan untuk kembali aktif.

Pada masa sama, pesakit perlu memahami bahawa angioplasti bukan bermakna penyakit jantung sudah hilang sepenuhnya.

Dr. Kuan Leong mengibaratkan prosedur itu seperti membina ‘lebuh raya’ yang baik untuk arteri koronari, namun penjagaan berterusan melalui pengambilan ubat, pemakanan sihat, aktiviti fizikal yang sesuai dan pemeriksaan susulan tetap penting bagi mengurangkan risiko komplikasi pada masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *