KKM KEKAL KUKUH, TIADA POTONGAN PERKHIDMATAN TERAS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menegaskan dakwaan kononnya Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan pemotongan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion adalah tidak tepat, sebaliknya penyelarasan perbelanjaan yang sedang dipertimbangkan hanya melibatkan kira-kira RM500 juta dan tertumpu kepada perbelanjaan tidak kritikal.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, penyelarasan itu tidak menjejaskan perkhidmatan kesihatan utama termasuk pembayaran emolumen, bekalan ubat-ubatan, elaun kerja lebih masa, elaun on-call serta keperluan operasi penting lain.

Beliau berkata, kerajaan terus memperkukuh sektor kesihatan dengan meningkatkan peruntukan ubat-ubatan kepada RM6.5 bilion bagi tahun 2026, selain mengekalkan sasaran pengambilan lebih 18,000 petugas kesihatan tanpa sebarang pengurangan berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, langkah penyelarasan perbelanjaan mengurus itu bertujuan mewujudkan ruang fiskal bagi menampung peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi susulan krisis di Asia Barat, namun perkhidmatan asas melibatkan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohammad, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amir Hamzah memaklumkan kerajaan sedang mempercepat pelaksanaan strategi RESET dan Pelan Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHIT) bagi menangani inflasi kos perubatan melalui pendekatan lebih telus dan mampan.

Katanya, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah penerbitan Kertas Putih MHIT Asas, laporan Bank Dunia mengenai inflasi perubatan, julat kos rawatan hospital swasta, alat bantuan pengguna bagi membuat keputusan berkaitan insurans serta insentif cukai kepada dana kebajikan hospital swasta untuk membantu golongan B40 mendapatkan rawatan.

Beliau turut memaklumkan fasa rintis MHIT Asas akan bermula pada penghujung Julai 2026 melibatkan beberapa syarikat insurans, pengendali takaful dan hospital swasta terpilih di Lembah Klang sebelum dilaksanakan di seluruh negara pada Januari 2027.

Langkah tersebut dijangka dapat meningkatkan ketelusan kos rawatan, memperluaskan akses kepada perlindungan kesihatan yang lebih mampu milik serta membantu mengawal kenaikan premium insurans perubatan dalam jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *