Kerjasama antara UMNO dan PAS didakwa sukar bertahan jika hanya dibina atas kepentingan politik dan perebutan kuasa, kata aktivis masyarakat terkenal, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Tokoh yang lebih dikenali sebagai Ayahanda Rani Kulup itu berkata, perpaduan politik yang benar-benar kukuh perlu diasaskan kepada perjuangan yang jelas, bukannya sekadar strategi untuk memenangi pilihan raya.
“Kalau kerjasama itu semata-mata kerana kuasa, ia tidak akan bertahan lama. Kerjasama yang ikhlas mesti dibina atas dasar perjuangan, bukan kepentingan politik sementara,” katanya dipetik Harapan Daily.
Bekas anggota tentera itu berkata demikian ketika mengulas perkembangan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Rani Kulup lagi, parti yang benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu perlu menunjukkan kesungguhan melalui tindakan dan dasar, bukan sekadar membentuk pakatan yang bersifat sementara.
“Kalau benar mahu memperkasakan Melayu, buatlah dengan perjuangan yang konsisten. Jangan hanya bersatu apabila hendak pilihan raya, kemudian bergaduh semula selepas itu,” ujarnya lagi.
Beliau turut berpandangan, sejarah politik negara telah beberapa kali menunjukkan kerjasama yang dibina atas kepentingan jangka pendek sukar bertahan apabila timbul perbezaan kepentingan.
Malah menurutnya, rakyat kini semakin matang dan mampu menilai sama ada sesebuah kerjasama politik benar-benar bertujuan membela rakyat atau sekadar memenuhi agenda untuk mendapatkan kuasa.
“Rakyat hari ini melihat prestasi dan keikhlasan. Mereka mahu pemimpin yang bekerja, bukan hanya pandai bercakap ketika musim pilihan raya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya mengutamakan kestabilan negara dan kebajikan rakyat berbanding terus memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Politik sepatutnya menjadi medan mencari penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya mencipta permusuhan yang berpanjangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, politik yang bersandarkan kaum dan agama tidak lagi sesuai diamalkan dalam era digital apabila rakyat kini lebih mementingkan pembangunan, peluang ekonomi dan kualiti hidup berbanding retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
Terdahulu, menyuarakan pendirian itu, Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Openg berkata, majoriti rakyat hari ini mahukan kerajaan yang mampu membawa kemajuan dan meningkatkan taraf hidup mereka, bukannya terus memainkan sentimen perkauman.
“Majoriti rakyat mahukan pembangunan dan kehidupan lebih baik, bukan lagi politik perkauman.
“Dalam era digital hari ini, yang penting ialah kebijaksanaan, ilmu dan kemampuan, bukannya kaum atau agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Sibu pada Ahad lalu.
Menurutnya lagi, kepimpinan masa depan perlu berasaskan ilmu, keupayaan dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Beliau juga berkata, pengalaman kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mentadbir negeri membuktikan pendekatan inklusif yang diamalkan mampu membawa manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Sebagai contoh, katanya, pelantikan anak Sarawak daripada pelbagai kaum menerajui Petroleum Sarawak Berhad(Petros) dan beberapa agensi kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan serta merit, bukannya kaum.
“Kita memilih mereka kerana kemampuan, bukan kerana bangsa atau agama,” tegasnya lagi.
Malah katanya, sepanjang enam tahun pentadbiran GPS, pelbagai projek pembangunan seperti pembinaan jambatan, jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gendong itu turut berkata, pencapaian itu membuktikan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan pembangunan, bukannya sekadar membuat janji politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa PBB perlu terus melahirkan barisan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan agenda mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Di samping memastikan negeri itu berada di landasan mencapai sasaran pembangunan menjelang 2030.
Kenyataan beliau hadir ketika isu politik berasaskan kaumdan agama kembali menjadi perhatian susulan beberapa polemik yang timbul sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak menggesa parti politik kembali bersaing melalui dasar, prestasi dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya memainkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=acnX1uebQdI&pp=0gcJCaMLAYcqIYzv&ra=m
