RAMALAN SENGIT JADI PEMBAKAR SEMANGAT PH

KUALA LUMPUR – Ramalan bahawa gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi mencatat keputusan memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak seharusnya dilihat sebagai petunjuk muktamad terhadap keputusan pilihan raya, sebaliknya menjadi isyarat agar semua pihak terus memperkukuh gerak kerja kempen.

Profesor Adjung Universiti SEGI, Dr. Sarraf Rajesh berkata, dalam politik, persepsi mampu mempengaruhi strategi apabila persaingan yang dilihat semakin sengit lazimnya mendorong jentera parti bekerja lebih agresif dan meningkatkan motivasi penyokong untuk keluar mengundi.

Menurut beliau, kenyataan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, berpotensi menjadi pemangkin kepada penyatuan semula kekuatan jentera Pakatan Harapan (PH) di peringkat akar umbi, sekali gus mengelakkan sikap terlalu yakin dalam kalangan penyokong.

Katanya, penentu sebenar kemenangan tetap bergantung kepada penilaian pengundi terhadap prestasi kerajaan negeri sepanjang tempoh pentadbirannya, bukannya berdasarkan ramalan atau unjuran politik semata-mata.

Sarraf berkata, PH masih memiliki kelebihan menerusi rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan stabil, sederhana serta bebas daripada kontroversi besar, selain berjaya mengekalkan fokus terhadap pembangunan ekonomi, pelaburan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.

Beliau turut menyifatkan pendekatan inklusif kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik sebagai antara faktor yang meningkatkan keyakinan pengundi terhadap kesinambungan pentadbiran sedia ada.

Sebelum ini, Ong Kian Ming meramalkan BN dan PN berpeluang memenangi antara 23 hingga 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, namun Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan bahawa keputusan pilihan raya hanya akan ditentukan oleh rakyat melalui peti undi.

Mengulas perkara itu, Sarraf berpandangan ramalan berkenaan tidak semestinya melemahkan PH, malah boleh menjadi faktor yang meningkatkan kesedaran bahawa setiap undi mempunyai nilai besar dalam menentukan keputusan PRN.

Beliau berkata, semakin sengit sesuatu pertandingan, semakin tinggi komitmen jentera parti dan penyokong untuk menggandakan usaha sehingga tamat proses pengundian, sekali gus menjadikan persaingan lebih dinamik pada saat-saat akhir kempen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *