RIYADH – Pengeluaran minyak mentah Arab Saudi merosot hampir dua juta tong sehari pada Ogos kepada 6.238 juta tong sehari, paras terendah dalam tempoh lebih 35 tahun, susulan gangguan laluan eksport akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurut laporan Bloomberg, Riyadh memaklumkan kepada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) bahawa pengeluaran negara itu susut sebanyak 1.9 juta tong sehari berbanding bulan sebelumnya.
Penurunan itu menjadikan pengeluaran Arab Saudi pada Ogos sebagai yang terendah sejak tercetusnya Perang Teluk pada 1990, selain mencatat paras baharu terendah sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari.
Gangguan tersebut turut memberi tekanan kepada operasi eksport minyak Arab Saudi apabila dua laluan maritim utamanya berdepan ancaman keselamatan.
Pergerakan kapal melalui Selat Hormuz terjejas akibat konflik berterusan antara AS dan Iran, menyebabkan Arab Saudi terpaksa meningkatkan pergantungan kepada laluan melalui Laut Merah.
Bagaimanapun, laluan berkenaan turut berdepan ancaman selepas kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yemen memperbaharui serangan terhadap pasukan kerajaan yang disokong Riyadh serta mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi.
Lebih membimbangkan, Houthi turut menyasarkan infrastruktur tenaga Arab Saudi secara langsung.
Pada Selasa, serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu dan dron menyebabkan beberapa kemudahan minyak terbakar, sekali gus memaksa operasi di beberapa fasiliti dihentikan.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan serangan berkenaan, namun Riyadh belum mendedahkan secara terperinci skala kerosakan atau sejauh mana insiden itu menjejaskan kapasiti pengeluaran minyak negara.
Keadaan itu berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga global sekiranya gangguan bekalan berterusan, khususnya ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat terus mengancam laluan utama perdagangan minyak dunia.
