MAFIA KORPORAT: AMANAH SOKONG PASUKAN PETUGAS, GARISKAN LIMA TUNTUTAN

AMANAH menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi yang diketuai Peguam Negara bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat”.

Langkah ini merupakan susulan kepada komitmen PMX di Parlimen bahawa siasatan tidak akan ditutup, tiada pihak akan dilindungi dan laporan lengkap akan didedahkan kepada umum dalam tempoh tiga bulan.

Bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan mendapat keyakinan rakyat, AMANAH mengemukakan lima tuntutan utama:

1. Terma Rujukan Yang Jelas

Umumkan skop, tempoh dan bidang kuasa pasukan petugas supaya rakyat memahami hala tuju siasatan.

2. Siasatan Bebas Tanpa Konflik Kepentingan

Pastikan mana-mana individu atau agensi yang dikaitkan dengan dakwaan tidak mempengaruhi perjalanan siasatan.

3. Berasaskan Bukti, Bukan Spekulasi

Setiap dakwaan mesti disiasat secara profesional, adil dan berlandaskan bukti tanpa menghukum mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai.

4. Laporan Penuh Didedahkan Kepada Rakyat

Patuhi tempoh tiga bulan yang ditetapkan serta jelaskan dapatan siasatan, tindakan susulan dan pihak yang bertanggungjawab.

5. Pendakwaan dan Reformasi Institusi

Sekiranya terdapat bukti mencukupi, tindakan pendakwaan mesti dilakukan tanpa memilih bulu. Kelompongan undang-undang yang membuka ruang kepada manipulasi korporat juga perlu ditangani.

Isu ini bukan sekadar melibatkan beberapa individu, tetapi menguji sejauh mana institusi negara mampu mempertahankan integriti dan kebebasannya daripada pengaruh kuasa ekonomi serta kepentingan tertentu.

AMANAH menyokong ketegasan PMX dalam memastikan kebenaran ditegakkan dan tiada pihak dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Siasat tanpa takut, dedahkan kebenaran dan bertindak tanpa memilih bulu!

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara

21 Oktober 2026

https://www.facebook.com/share/p/1NU7MJBHMi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *