KENYATAAN MEDIA
1. Apabila Laporan RCI Tabung Haji didedahkan, kita melihat satu perkara yang agak pelik. Apabila kita bercakap tentang kelemahan pengurusan Tabung Haji, ada pimpinan Politi Melayu kata kerajaan menghina dan menjatuhkan imej Melayu.
2. Soalnya, sejak bila membongkar kelemahan seorang individu bermakna menghina seluruh bangsa Melayu?
Kalau seorang Melayu melakukan kesalahan, adakah kita mesti menutup kesalahannya kerana dia Melayu?
Kalau begitu, kita bukan sedang membela Melayu. Kita sedang menggunakan Melayu sebagai perisai untuk melindungi kesalahan manusia.
Kalau bumbung rumah bocor, jangan marah orang yang tunjuk lubangnya. Baiki bumbung itu. Kalau tidak, kerana mahu menjaga nama tukang yang membinanya, satu rumah akhirnya tenggelam.
Dalam isu Laporan RCI Tabung Haji: “Jangan kerana mahu menjaga nama orang yang pernah mengurus Tabung Haji, kita sanggup membiarkan pendeposit terus menanggung risiko.”
3. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan berlakunya campur tangan politik dalam urusan pentadbiran, pelantikan Lembaga Pengarah, keputusan pelaburan, serta penetapan kadar agihan keuntungan (hibah) yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
4. Penamatan Tanpa Sebab Nyata: Dokumen RCI mendedahkan bahawa bekas CEO, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (ditamatkan pada 5 Mei 2021) dan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof (ditamatkan pada 15 Oktober 2021) telah diberhentikan sebelum tempoh kontrak masing-masing tamat. Sedangkan mereka sedang melakukan pembaikan pada Tabung Haji.
5. Kuasa Menteri Dipersoal: Di bawah Seksyen 6(5) Akta Tabung Haji 1995, Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk membatalkan pelantikan mana-mana ahli lembaga pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebarang sebab.
RCI merumuskan bahawa penggunaan kuasa ini secara sewenang-wenang telah menjejaskan usaha reformasi institusi yang sedang giat berjalan ketika itu.
Kesan Kepada Organisasi: Penamatan mengejut ke atas figura-figura profesional yang sedang memulihkan TH dilihat mengganggu kestabilan operasi dan tadbir urus dana.
6. Jadi saya ingin bertanya: Adakah RCI juga sedang memburukkan Melayu? Sudah tentu tidak.
RCI sedang membetulkan sistem. Pendepositlah yang mesti kita bela.
Kita jangan lupa siapa sebenarnya mangsa apabila tadbir urus gagal. Bukan PH. Bukan PAS. Bukan UMNO. Yang paling terkesan ialah pendeposit Tabung Haji.
Mereka bukan menyimpan wang kerana hendak menjadi kaya. Ada makcik yang menyimpan RM10, RM20, RM50 setiap bulan. Ada orang kampung yang menyimpan bertahun-tahun. Ada ibu bapa yang menyimpan untuk anak. Ada anak yang menyimpan untuk membawa ibu dan ayah ke Tanah Suci. Mereka menyimpan kerana percaya wang mereka berada dalam sebuah institusi yang amanah.
Maka apabila RCI mendedahkan kelemahan tadbir urus, persoalan kita bukan: “Siapa yang menghina Melayu?”
Persoalan yang lebih penting ialah: “Siapa yang menjaga wang pendeposit?”
Jangan songsangkan mangsa dengan pesalah.
7. Ini yang saya kira sangat penting untuk dijelaskan kepada rakyat. Membongkar kelemahan tidak bermaksud memburukkan institusi.
Sebaliknya: Membetulkan Tabung Haji ialah cara kita mempertahankan Tabung Haji. Kalau ada kelemahan, kita baiki. Kalau ada pelaburan bermasalah, kita audit. Kalau ada konflik kepentingan, kita hentikan. Kalau ada salah laku, siasat. Kalau terbukti bersalah, ambil tindakan.
Membongkar kesalahan seorang Melayu bukan menghina Melayu. Menutup kesalahan atas nama Melayu itulah yang merosakkan maruah Melayu.
“Menyelamatkan Tabung Haji bukan menjual Melayu. Memulihkan Tabung Haji ialah menjaga amanah Melayu-Islam.”
MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN PARTI AMANAH NEGARA
ISNIN (10 OGOS 2026)
ALOR SETAR, KEDAH DARULAMAN
