PAS DAN BN: PERPADUAN KE ARAH KEBINASAAN MELAYU

1. Pada mulanya, saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Zahid Hamidi, Presiden Umno/Pengerusi BN, atas pengumuman keputusan muktamad Umno/BN berhubung kerjasama mereka dengan “Pas dan rakan-rakan Pas” untuk menghadapi PRN Melaka. Dengan itu, segala teka-teki berhubung siapa kawan dan siapa lawan adalah jelas dan PH, akhirnya, boleh menyusun strateginya untuk menghadapi PRN Melaka.

2. Pembahagian 21 kerusi kepada Umno/Barisan Nasional (BN) dan tujuh kerusi kepada Pas dan rakan-rakan Pas menjelaskan kedudukan sebenar Pas sebagai hanya sekadar budak suruhan dan macai Umno/BN dalam arena politik negara. Ke mana perjuangan Pas yang selama ini dibawanya atas prinsip Islam yang menolak asabiah, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa?

3. Dalil baharu Pas yang berasaskan perangai anjing kampung yang bersatu untuk menghalau rusa dan kijang yang masuk kampung telah jelas menggantikan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah yang selama ini telah memberikan Pas citranya yang tersendiri. Dengan itu, telah dibakulsampahkan ayat-ayat al-Quran seperti “jangan kamu cenderung kepada yang zalim, kamu akan disambar api neraka” dan hadis seperti “bukan daripada kami mereka yang menyeru kepada asabiah…”.

4. Zahid telah menyatakan bahawa BN akan menggunakan logonya sendiri, manakala Pas dan sekutunya akan menggunakan logo berasingan. Saya syorkan supaya mereka semua menggunakan logo BN kerana pada hakikatnya sudah tiada beza antara mereka. Mereka semua berpolitik kerana inginkan kuasa semata-mata, tanpa adanya idealisme atau matlamat atau panduan yang dibina atas prinsip-prinsip yang mulia.

5. Umno dan rakan-rakannya dalam BN, seperti MCA dan MIC, ingin terus menyuburkan budaya politik sakau dan sangat bangga dengannya. Melalui politik sakau, mereka mendapat kekayaan yang dengannya mereka membeli hati rakyat, khususnya orang Melayu. Maka dengan itu, wujud dalam kalangan rakyat Melayu mereka yang berterima kasih kerana mendapat “tempias” daripada kekayaan tersebut dan tanpa sedar menyanjung tinggi penyakau harta bangsa Melayu sendiri dan harta negara.

6. Pas pula inginkan kuasa supaya boleh menyuburkan budaya politik “pukau” di mana pengikut mereka menjadi bodoh bagaikan dipukau. Halal boleh menjadi haram dan haram menjadi halal kerana akur dan patuh secara buta tuli kepada “ulama” sanjungan mereka sebagaimana golongan Ahli Kitab dahulu akur secara buta tuli terhadap paderi dan rahib mereka. Keadaan ketaatan membabi buta ini sangat jelas apabila ahli dan penyokong Pas langsung tidak mampu mempersoalkan tindakan pimpinan Pas menyokong golongan sakau termasuk membela DS Najib.

7. Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan PRU-16 yang sedang menjelang, saya menyarankan agar Pakatan Harapan bergerak secara bersendirian. Pendekatan ini akan membolehkan Pakatan Harapan menawarkan gagasan, dasar dan calon yang jelas berprinsip kepada rakyat tanpa kekeliruan akibat percaturan kerjasama dengan parti-parti lain. Pada masa yang sama, pendirian ini dapat memperkukuh identiti, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Harapan. Kita menolak politik sakau Umno dan pukau Pas.

8. Rakyat, khususnya masyarakat Melayu, mesti difahamkan bahawa politik sakau dan pukau ini akan membinasakan bangsa Melayu khususnya, dan negara. Mereka perlu disedarkan bahawa ada politik Melayu yang merupakan pilihan ketiga untuk orang Melayu, yang dibawa oleh Melayu PH, sama ada Amanah, PKR ataupun DAP, yang memperjuangkan tatakelola yang baik, kecekapan, keberkesanan dan kebajikan. Prestasi baik menjadi tumpuan mereka bersama dan hanya melalui ini sahajalah bangsa Melayu dan bangsa Malaysia seluruhnya akan diselamatkan daripada kebinasaan.

9. Ancaman terhadap Melayu dan Islam bukan terletak pada PH atau DAP tetapi sebaliknya pada Umno dan Pas melalui politik sakau dan pukau mereka. “Tolak politik sakau dan pukau, tolak Umno dan Pas!” harus merupakan cogan kata PH untuk PRN Melaka dan PRU-16.

KHALID ABD SAMAD

Pengarah Komunikasi

Parti Amanah Negara (AMANAH)

24 Oktober 2026

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *