Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak apabila keputusan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan persoalan besar mengenai kepimpinan sebenar gabungan pembangkang itu.
Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai tamparan hebat kepada Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sebelum ini diumumkan sebagai Ketua Pembangkang.
Namun kedudukannya dikatakan hanya bertahan dalam tempoh singkat sebelum Dato’ Seri Hamzah Zainudin kembali memainkan peranan utama dalam blok pembangkang.
Situasi tersebut mengundang tanda tanya mengenai sejauh mana kuasa dan kewibawaan Ahmad Samsuri dalam menentukan hala tuju PN.
Terutamanya apabila keputusan strategik gabungan dilihat lebih banyak ditentukan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Penganalisis politik melihat keadaan itu sebagai petunjuk bahawa struktur kepimpinan PN kini berdepan krisis keyakinan dan ketidakjelasan.
Mengulas mengenai perkembangan itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil mendakwa perpecahan antara PAS dan Bersatu sememangnya telah dijangka berdasarkan sejarah kerjasama politik parti tersebut yang sering berakhir dengan perpecahan.
Menurutnya, mana-mana parti yang berhasrat menjalinkan kerjasama dengan PAS perlu mengambil iktibar daripada nasib Bersatu yang kini berdepan penamatan hubungan politik selepas sekian lama menjadi rakan strategik dalam PN.
Muhammad Faiz turut mendakwa PAS mempunyai kecenderungan untuk mencari rakan politik yang dianggap lebih menguntungkan pada sesuatu masa.
Ia sekali gus menyebabkan hubungan dengan parti-parti lain sukar bertahan dalam jangka panjang.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu berkata, sejarah menunjukkan beberapa kerjasama politik yang pernah dibentuk PAS sebelum ini akhirnya tidak berkekalan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.
PAS sebelum ini mengumumkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas menilai semula kedudukan dan hala tuju hubungan kedua-dua parti berkenaan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Hadi Awang.
Keputusan itu dijangka memberi kesan besar terhadap landskap politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Selain membuka persoalan sama ada PN masih mampu menampilkan imej sebagai sebuah gabungan yang kukuh dan bersedia menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada.
Berikutan perkembangan itu, pemerhati politik berpendapat krisis yang berlaku bukan sekadar melibatkan hubungan PAS dan Bersatu.
Malah turut menyentuh soal masa depan serta identiti sebenar Perikatan Nasional.
Mereka juga berpandangan rakyat berhak mengetahui siapakah individu yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan dasar dan keputusan penting gabungan tersebut.
Ketika Ahmad Samsuri memegang jawatan Pengerusi PN, keputusan terbesar yang mengubah landskap politik pembangkang dilihat diumumkan sendiri oleh Presiden PAS.
Keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan persepsi bahawa kepimpinan rasmi dalam PN tidak semestinya mencerminkan pusat kuasa sebenar gabungan berkenaan.
Pada masa sama, perpecahan antara dua parti teras pembangkang itu dijangka memberi kesan kepada kekuatan jentera dan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Jika kemelut tersebut gagal diselesaikan dengan segera, ia berpotensi menjejaskan keyakinan penyokong terhadap kemampuan PN untuk menawarkan kestabilan politik kepada negara.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=zgeUe8xWJrY&pp=0gcJCT4LAYcqIYzv&ra=m
