PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi meningkat 20 sen kepada RM5.27 seliter, manakala petrol RON95 dan RON97 tanpa subsidi masing-masing naik 10 sen bagi tempoh 29 Oktober hingga 4 November ini.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga diesel tanpa subsidi meningkat daripada RM5.07 kepada RM5.27 seliter, manakala RON95 naik daripada RM4.32 kepada RM4.42 seliter.
RON97 pula meningkat daripada RM4.80 kepada RM4.90 seliter.
Menurut MOF, kenaikan harga bahan api itu dipengaruhi peningkatan harga minyak mentah Brent pada minggu lalu susulan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan di Asia Barat.
Bagaimanapun, harga minyak mentah berkenaan menyederhana sedikit menjelang penghujung tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM).
Di pasaran serantau, harga diesel bertapis di Singapura turut meningkat, manakala pergerakan harga petrol menunjukkan trend bercampur.
MOF berkata, pengurangan stok beberapa produk petroleum di Singapura turut menjadi perhatian, meskipun bekalan dari Asia Timur Laut dijangka kekal stabil.
Perkembangan konflik di Asia Barat, termasuk ancaman terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan, terus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan petroleum global.
Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu dalam jangka sederhana.
Kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan pasaran global, termasuk melalui pelaksanaan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI.
Menurut MOF, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
