DUITNOW QR KINI BOLEH DIGUNAKAN DI LIMA NEGARA

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia kini boleh menggunakan aplikasi perbankan mudah alih tempatan untuk membuat pembayaran menggunakan DuitNow QR di lima destinasi luar negara menerusi kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dengan Alipay+.

Destinasi berkenaan ialah China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina dan Laos, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia membuat transaksi ketika melancong atau berurusan di luar negara tanpa perlu memuat turun aplikasi baharu atau membuka akaun Alipay+.

PayNet dalam kenyataan memaklumkan, kemudahan itu pada peringkat awal ditawarkan menerusi aplikasi perbankan Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank, manakala Bank Islam dijangka menyusul tidak lama lagi.

Menerusi kemudahan tersebut, pengguna hanya perlu membuka fungsi pembayaran DuitNow QR dalam aplikasi perbankan masing-masing sebelum mengimbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+.

Pengguna seterusnya boleh menyemak dan mengesahkan transaksi melalui aplikasi sama, sekali gus menjadikan proses pembayaran lebih mudah tanpa memerlukan aplikasi pembayaran tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat untuk memperluas rangkaian pembayaran Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui sistem yang selamat dan saling boleh kendali.

Menurutnya, ketersambungan pembayaran rentas sempadan bukan sahaja memudahkan rakyat Malaysia berbelanja di luar negara, malah berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara serantau.

Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong visi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membangunkan sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, cekap dan inklusif.

Kerjasama PayNet dengan Ant International menerusi Alipay+ bermula pada November 2023, apabila pelancong yang menggunakan dompet digital rakan kongsi Alipay+ yang menyokong kemudahan berkenaan boleh membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di Malaysia.

Kerjasama dua hala itu turut membuka peluang kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk meraih manfaat daripada perbelanjaan pelancong antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, kemudahan pembayaran DuitNow QR di luar negara akan diperluas secara berperingkat ke lebih banyak destinasi, selain melibatkan lebih banyak bank dan penyedia e-dompet dalam rangkaian PayNet.

Pengurus Besar Pusat Pertumbuhan Global Alipay+, Ant International, Danny Chung berkata, kerjasama yang semakin berkembang itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk menghubungkan infrastruktur pembayaran Malaysia dengan ekonomi digital global.

Katanya, ketersambungan pembayaran dua hala yang saling boleh kendali mampu memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, selain membuka lebih banyak peluang kepada pengguna serta perniagaan.

Beliau berkata, ekosistem Alipay+ kini menghubungkan lebih dua bilion akaun pengguna melalui lebih 50 rakan pembayaran antarabangsa, dengan rangkaian lebih 150 juta peniaga di lebih 210 pasaran.

Ekosistem itu turut merangkumi lebih 10 skim pembayaran kebangsaan, termasuk PayNet, sekali gus memperluas potensi penggunaan pembayaran digital merentas negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *