KUALA LUMPUR – Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) akan diperluas daripada 14 kepada 16 bidang perkhidmatan pada 2027, susulan peningkatan peruntukan sebanyak RM56 juta bagi mempercepatkan akses pesakit kepada rawatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua bidang baharu yang bakal diperkenalkan ialah ujian kultur Mycobacterium tuberculosis bagi mengesan bakteria penyebab tuberkulosis (tibi) serta ujian genetik pranatal.
Beliau berkata, pelaksanaan HSOP dengan memanfaatkan kapasiti sektor swasta berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit antara dua hingga 10 minggu secara purata, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.
Menurutnya, tempoh menunggu bagi pembedahan pintasan jantung (CABG) berjaya dikurangkan sebanyak 18 minggu, daripada 50 kepada 32 minggu.
Bagi rawatan radioterapi kanser prostat, tempoh menunggu pula berkurangan 13 minggu, daripada 21 kepada lapan minggu, manakala pemeriksaan tomografi berkomputer (CT) jantung mencatatkan pengurangan 11 minggu.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan sama, jumlah pesakit yang menerima manfaat daripada HSOP meningkat 22.2 peratus kepada 51,159 orang menerusi 14 bidang perkhidmatan, berbanding 41,858 pesakit melalui 10 bidang sebelum ini.
Sementara itu, KKM merancang memperkenalkan konsep hospital cottage melalui penaiktarafan klinik kesihatan terpilih di kawasan pedalaman bagi memperluas akses kepada rawatan, khususnya bagi penduduk yang tinggal jauh dari hospital.
Dzulkefly berkata, inisiatif itu merangkumi penyediaan kemudahan tertentu, termasuk wad pemerhatian di klinik kesihatan yang mempunyai akses terhad kepada hospital.
Antara fasiliti yang dikenal pasti ialah Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman, Pahang; Klinik Kesihatan Telupid dan Klinik Kesihatan Nabawan di Sabah; serta Klinik Kesihatan Sungai Asap di Sarawak.
Pelaksanaan konsep berkenaan bertujuan menyediakan akses kepada rawatan pesakit dalam, mengurangkan keperluan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan serta memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati secara lebih saksama tanpa mengira lokasi geografi.
