SELANGOR MUDAH TUNDUKKAN KL CITY

PETALING JAYA – Selangor FC meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super 2026 apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-0 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan The Red Giants mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan, selain terus mengukuhkan status sebagai jaguh Lembah Klang.

Skuad kendalian Kim Pan-gon turut muncul pasukan kedua selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya mengekalkan rekod kemenangan bersih pada awal kempen musim ini.

Biarpun kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada babak pertama, Selangor lebih berbahaya menerusi beberapa peluang berkualiti, namun ketangkasan penjaga gol KL City, Ameeul Eqhwan Mohd Fauzi, berkali-kali menggagalkan usaha tuan rumah.

Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi rekrut baharu, A. Selvan yang tenang menyudahkan bola muntah untuk memberikan kelebihan kepada The Red Giants.

Memasuki babak kedua, Selangor hanya memerlukan enam minit untuk menggandakan kelebihan menerusi penyerang sensasi, Chrigor Moraes.

Chrigor kemudian sekali lagi memainkan peranan penting apabila melakukan lorongan pada minit ke-73 untuk disempurnakan Eduardo Sosa bagi melengkapkan kemenangan 3-0.

Selangor selepas itu terus mengasak untuk menambah jaringan, namun beberapa peluang terbaik dinafikan Ameeul Eqhwan yang tampil cemerlang di gawang KL City.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC, Datuk Dollah Salleh mengakui terdapat jurang ketara antara pasukannya dengan Selangor selepas kekalahan tersebut.

“Kita akui Selangor lebih baik malam ini. Ada jurang antara kedua-dua pasukan dan kita perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.

Kemenangan itu sekali gus memberikan suntikan keyakinan buat Selangor dalam meneruskan cabaran Liga Super musim ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *