Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan depan.
“Insya-Allah, beberapa perkara berkaitan hubungan Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam tatkala Presiden El-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan hadapan,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu hantaran di media sosialnya pada Ahad.
Walau bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai lawatan tersebut yang dinyatakan dalam hantaran itu.
El-Sisi ialah seorang daripada pemimpin BRICS yang ditemui Perdana Menteri di sela-sela majlis makan malam.
Majlis makan malam itu bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi.
Pada 2024, Malaysia dan Mesir bersetuju untuk berusaha meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik.
Untuk rekod, PMX tiba di New Delhi, India pada Jumaat lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang berakhir pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu akan meneruskan lawatan kerja ke Keralam (nama rasmi baharu bagi Kerala), sebuah negeri terletak di Pantai Malabar, Selatan India.
Ini adalah lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama dilakukan pada Ogos 2024.
Tambahan lagi, Perdana Menteri kemudiannya berlepas ke Maldives pada hari ini.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=5S3lyeqDztw&ra=m
