RM157 JUTA UiTM HOLDINGS ISU LEGASI, BUKAN KERUGIAN BAHARU

KUALA LUMPUR – Kerugian terkumpul sebanyak RM157 juta yang dialami UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) merupakan isu legasi bagi tempoh 2017 hingga 2021 dan bukannya kerugian baharu di bawah pengurusan semasa.

Pengerusinya, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kepimpinan baharu komited menyelesaikan kemelut berkenaan dengan menjadikan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai momentum untuk mempercepatkan proses pemulihan syarikat.

Menurut beliau, angka RM157 juta itu sudah dilaporkan sejak 2023 dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika itu menjelaskan ia merujuk kepada kerugian terkumpul bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Katanya, isu berkenaan turut diteliti menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2022 serta prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebelum laporan berkaitan dibentangkan pada 2024.

β€œIni fakta kronologi dan isu legasi. Kami tidak menggunakan isu ini sebagai alasan, sebaliknya mengenal pasti masalah untuk diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kepimpinan UiTM Holdings kini diterajui Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Januari 2025, manakala Dr. Fathul Bari dilantik sebagai pengerusi pada Ogos tahun sama.

Dr. Fathul Bari berkata, kepimpinan semasa wajar dinilai berdasarkan aspek integriti, pelaksanaan serta hasil kerja bagi memastikan proses pemulihan syarikat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau turut menegaskan usaha memulihkan UiTM Holdings tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia membabitkan pemerkasaan aset milik universiti dan kepentingan institusi pendidikan tinggi awam.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan meneliti kerangka nasional bagi memberikan First Right of Refusal (FROR) atau hak penolakan pertama kepada syarikat milik universiti awam supaya peluang ekonomi dapat dipertimbangkan terlebih dahulu secara kompetitif dan berasaskan merit.

Cadangan itu, katanya, bukan bertujuan mewujudkan monopoli, sebaliknya membolehkan syarikat universiti bersaing secara profesional dengan mengambil kira usaha wajar, keupayaan serta daya saing sebelum sesuatu projek dilaksanakan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan berkaitan kerugian RM157 juta UiTM Holdings masih berjalan sejak dimulakan pada 2023.

Siasatan berkenaan antaranya melibatkan projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang serta beberapa isu berkaitan tadbir urus, dana dan pelaburan yang dibuat syarikat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *