MUSCAT – Seorang pempengaruh media sosial dari Ukraine memohon maaf selepas video dirinya duduk di atas seekor penyu serta memegang anak penyu di Oman tular dan mencetuskan kecaman orang ramai.
Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Ras Al Jinz, Oman, yang terkenal sebagai lokasi penetasan penyu. Rakaman itu menunjukkan jurulatih kecergasan, Vadym Oleynik, menghampiri seekor penyu sebelum duduk di atas cangkerangnya.
Dalam video berkenaan, Oleynik dilihat terjatuh apabila penyu tersebut terus bergerak, namun dia kemudian kembali duduk di atas haiwan itu sambil ketawa.
Dia turut dirakam memegang seekor anak penyu menggunakan sebelah tangan, ketika haiwan kecil berkenaan cuba menggerakkan siripnya.
Tindakan tersebut mengundang kecaman selepas rakaman berkenaan diketengahkan oleh projek pemuliharaan Itali, Biologicamente, yang mempersoalkan tindakan pelancong berkenaan terhadap hidupan liar.
Media tempatan turut melaporkan kejadian itu berlaku di kawasan Ras Al Hadd dan mendapat perhatian pihak berkuasa Oman selepas video berkenaan tersebar di media sosial.
Susulan kecaman tersebut, Oleynik dilaporkan tampil memohon maaf atas perbuatannya. Tindakan terhadapnya turut mendapat perhatian pihak berkuasa Oman berikutan kebimbangan terhadap perlindungan penyu dan habitat pembiakannya.
Kawasan Ras Al Jinz dan Ras Al Hadd merupakan antara lokasi penting bagi penyu laut yang datang ke pesisir Oman untuk bertelur, sekali gus menjadikan pematuhan terhadap peraturan pemuliharaan hidupan liar amat penting.
