FDS DIGANTUNG, KKM GERAK EMPAT AGENSI BANTU PEDALAMAN

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan beberapa alternatif pengangkutan udara dengan kerjasama empat agensi bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan susulan penggantungan sementara perkhidmatan doktor udara (FDS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bantuan itu membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut beliau, antara mekanisme yang digerakkan ialah perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara (EMARS) di bawah JBPM, selain penerbangan ihsan dan pemindahan perubatan melalui udara (Medivac).

“Langkah-langkah dan pilihan atau alternatif lain telah kita gerakkan bagi memastikan keperluan kesihatan penduduk di kawasan pedalaman tidak terjejas.

“Antaranya mendapatkan bantuan JBPM menerusi EMARS, selain penerbangan ihsan dan Medivac,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengiringi jenazah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, di Masjid Al Karomah Baung, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM tidak boleh membiarkan perkhidmatan berkenaan terhenti terlalu lama memandangkan FDS memainkan peranan penting dalam menyediakan rawatan kepada masyarakat yang sukar mendapatkan akses melalui laluan darat.

Bagaimanapun, katanya, aspek keselamatan penerbangan perlu diberi perhatian lebih rapi susulan nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas KKM.

“KKM sedang menantikan hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula,” katanya.

Tujuh pasukan FDS KKM sebelum ini menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk di kawasan pedalaman yang sukar dicapai menerusi laluan biasa.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang.

Kesemua mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Dr. Ainul Baraah, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *