Dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berdepan penafian terus daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.
Kedutaan Amerika Syarikat menegaskan, negara itu tidak pernah berusaha menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas dakwaan berkenaan dibuat Abdul Hadi ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-72 di Kota Bharu.
Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, David H Gamble Jr berkata, sebarang dakwaan bahawa Washington cuba menentukan siapa yang memimpin Malaysia adalah tidak benar.
“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.
“Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu,” tegasnya dipetik Harapan Daily.
Penafian itu muncul selepas Abdul Hadi mendakwa wakil Amerika Syarikat pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika Dato’ Sri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Dalam ucapan tersebut, Abdul Hadi berkata, perkara itu berlaku ketika lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia.
Di mana ketika itu PAS masih menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.
Beberapa pemimpin PAS, termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa menghadiri pertemuan di Kedutaan Amerika Syarikat.
Malah menurut Abdul Hadi lagi, wakil Amerika Syarikat ketika itu dikatakan mahu berbincang mengenai kemungkinan menjatuhkan kerajaan.
Dan kemudian mengambil alih pentadbiran negara, malah didakwa sanggup memberikan bantuan kepada PAS.
Abdul Hadi turut mendakwa beliau kemudian bertemu Duta Amerika Syarikat bersama Dato’ Mustafa Ali dan ditanya mengenai calon Perdana Menteri yang akan dicadangkan PAS sekiranya berlaku perubahan kerajaan.
Bagaimanapun, sebahagian daripada dakwaan itu turut mendapat penjelasan daripada Takiyuddin yang mengesahkan bahawa wakil PAS pernah bertemu pihak Kedutaan Amerika Syarikat.
Malah turut pernah ditanya sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika itu.
Takiyuddin bagaimanapun berkata PAS tidak memberikan sebarang keputusan berhubung perkara itu dan menegaskan parti tersebut tidak mengharapkan campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia.
Dalam pada itu, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng mempersoalkan mengapa Presiden PAS tidak melaporkan kepada pihak berkuasa pada 2014.
Di samping mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan kononnya Amerika Syarikat pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.
Beliau berkata, ini kerana tuduhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berat, selain tidak dapat dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar PAS.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Naib Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS ada memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa di negara ini ketika itu.
“Saya menuntut jawapan jelas. Jika sudah (lapor kepada pihak berkuasa), nyatakan bila dan kepada siapa.
“Jika belum, mengapa kejadian didakwa berlaku 12 tahun lalu tidak dilaporkan?
“Abdul Hadi sudah membuat dakwaan, kini kemukakan bukti. Kedaulatan negara bukan modal ceramah,” katanya dipetik Harapan Madani.
Perbezaan ketara kini terletak pada kandungan dan maksud sebenar pertemuan tersebut di mana PAS mendakwa, wujud tawaran bantuan untuk menjatuhkan kerajaan.
Manakala Kedutaan Amerika Syarikat menolak dakwaan bahawa Washington pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Setakat ini, dakwaan Abdul Hadi mengenai tawaran tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.
Walau bagaimanapun, Kedutaan Amerika Syarikat memberikan penafian rasmi terhadap dakwaan campur tangan dalam menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Penafian Washington itu menjadikan pendedahan Presiden PAS itu berhubung dakwaan campur tangan Amerika Syarikat kini berdepan persoalan besar.
Adakah ia benar-benar tawaran untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang didakwa?
Atau sekadar pertemuan diplomatik yang ditafsirkan secara berbeza oleh pihak terbabit?
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=qr_HBUXcMaE&ra=m
