Isu Lembaga Tabung Haji (TH) kembali menjadi perhatian apabila laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menjadi medan pertembungan politik antara kerajaan dan pembangkang.
Selain mencetuskan perbahasan mengenai akauntabiliti serta tadbir urus institusi yang mengurus simpanan jutaan pendeposit Islam.
Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara dari 2020 hingga 2022 gagal mengambil peluang menyelesaikan isu TH.
Walaupun pelbagai persoalan berkaitan kedudukan kewangandan tadbir urus institusi itu telah dibangkitkan sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Beliau berkata, kerajaan ketika itu mempunyai kuasa untuk meneruskan siasatan serta melaksanakan pembaharuan.
Namun, masih lagi tiada penyelesaian menyeluruh dilakukan.
Menurutnya lagi, kerajaan MADANI kini mengambil pendekatan lebih tegas dengan membenarkan laporan RCI didedahkan kepada umum.
Di samping menyerahkan siasatan susulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan keseluruhan laporan RCI akan didedahkan tanpa sebarang pindaan atau bahagian yang disorokkan.
Sehubungan dengan itu, Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini dijadualkan membentangkan dan membahaskan dapatan laporan tersebut.
Di mana ia termasuk syor penambahbaikan terhadap pengurusan TH.
Susulan itu, Barisan Nasional (BN) turut mengadakan taklimat khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara bagi menyelaras pendirian parti menjelang sidang khas berkenaan.
Taklimat yang dipengerusikan Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka memberi fokus kepada dapatan RCI serta persediaan menghadapi perbahasan di Parlimen.
Pada masa sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan UMNO perlu bersikap jujur mengakui kelemahan tadbir urus yang berlaku ketika pentadbiran BN antara 2014 hingga 2017.
Malah menurutnya, pengakuan terhadap kelemahan itu penting bagi membuktikan komitmen parti terhadap reformasi dan pemulihan keyakinan rakyat.
Pandangan itu turut disokong bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang berpendapat parti berkenaan tidak seharusnya bergantung kepada momentum politik semasa semata-mata.
Sebaliknya perlu menjadikan isu TH sebagai titik perubahan untuk memperkukuh integriti dan melakukan pembaharuan dalaman.
Untuk rekod, laporan RCI sebelum ini mendedahkan kedudukan kewangan Tabung Haji berada pada tahap kritikal pada 2017.
Terutamanya, apabila kerugian mencecah kira-kira RM10 bilion sehingga memerlukan pelan pemulihan segera.
Perbahasan di Dewan Rakyat minggu depan dijangka menjadi pentas penting untuk menjelaskan tindakan kerajaan.
Sambil menentukan langkah memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan demi menjaga kepentingan jutaan pendeposit.
Penganalisis politik turut menjangkakan isu TH akan terus menjadi antara fokus utama perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan kepentingan jutaan pendeposit di seluruh negara.
Perdebatan dijangka tertumpu kepada aspek akauntabiliti, tadbir urus serta tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan oleh RCI.
Pada masa sama, rakyat diharap dapat menilai kesungguhan semua pihak dalam memastikan institusi kewangan Islam itudiurus secara telus, berintegriti dan bebas daripada campur tangan politik.
Keputusan serta tindakan susulan selepas sidang khas berkenaan dijangka menjadi penentu kepada usaha memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pengurusan TH.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=bvwD6nvAeOQ&ra=m
