Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin terbuka apabila isu kuorum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kini turut mencetuskan pertikaian mengenai sejauh mana pemimpin PAS wajar mencampuri urusan dalaman parti komponen berkenaan.
Pertikaian itu tercetus selepas empat Ahli Parlimen Bersatu membuat aduan kepada JabatanPendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 13 Julai lalu bagi mempersoalkan sama ada MPT parti itumasih mempunyai kuorum yang mencukupi untuk bermesyuarat.
Naib Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu kemudian membidas Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan mengenai tafsiran Perlembagaan Bersatu yang dikait kandengan isu kuorum berkenaan.
Menurut Ahmad Faizal, kenyataan Takiyuddin seolah-olah memperkecilkan peranan ROS, sedangkan badan itu merupakan pihak yang sepatutnya menentukan perkara berkenaan.
“Mungkin pada beliau, ROS ini bodoh dan hanya beliau yang pandai,” katanya dipetik Harapan Daily.
Takiyuddin sebelum ini berkata, berdasarkan tafsiran pihak yang membuat aduan, Bersatu hanya mempunyai 23 daripada 49 anggota MPT, sedangkan sekurang-kurangnya 25 anggota diperlukan bagi membentuk kuorum.
Namun pada masa sama, beliau mengakui tafsiran tersebut masih perlu ditentukan oleh ROS.
Percanggahan itu menimbulkan persoalan mengapa isu yang masih belum diputuskan oleh ROS seolah-olah sudah diberikan tafsiran oleh pemimpin PN, sedangkan keputusan rasmi badan berkenaan masih diperlukan.
Ahmad Faizal berpandangan jika benar keputusan akhir mengenai perkara itu terletak pada ROS, maka tidak wajar mana-mana pihak membuat kenyataan seolah-olah kedudukan kuorum Bersatu sudah jelas.
Lebih menarik, isu itu bukan lagi sekadar pertikaian teknikal mengenai bilangan anggota MPT atau tafsiran perlembagaan parti.
Ia kini turut memperlihatkan ketegangan antara pemimpin parti komponen PN, khususnya apabilapemimpin PAS dilihat memberikan pandangan mengenai perkara yang secara langsung menyentuh struktur dan urusan dalaman Bersatu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal turut meminta siasatan dibuat terhadap dakwaan Takiyuddin bahawa sesi beliau memberikan keterangan kepada ROS berlangsung terlalu lama sehingga menyebabkan beliau tidak sempat menunaikan solat Jumaat.
Permintaan itu menambahkan lagi tekanan terhadap Takiyuddin yang kini berdepan kritikan daripadapemimpin Bersatu sendiri berhubung kenyataannya mengenai isu berkenaan.
Kemelut tersebut juga memperlihatkan bagaimana hubungan antara Bersatu dan PAS dalam PN semakin sukar disorokkan di sebalik kenyataan mengenai kerjasama politik.
Apa yang pada awalnya kelihatan seperti isu pengurusan dalaman Bersatu kini sudah berkembang menjadi pertikaian terbuka mengenai siapa yang patut bercakap, siapa yang patut mentafsir dan siapa yang akhirnya mempunyai kuasa membuat keputusan.
Dan lebih penting, ROS masih belum memberikan keputusan muktamad mengenai persoalan kuorum itu.
Justeru, persoalan yang kini timbul bukan hanya sama ada MPT Bersatu mempunyai kuorum atau sebaliknya.
Tetapi mengapa pemimpin PAS dilihat begitu ke hadapan dalam memberikan tafsiran terhadap isu yang masih menunggu keputusan pihak berkuasa.
Jika PN mahu dilihat sebagai gabungan yang kukuh dan bersedia menghadapi cabaran politik akan datang, pertikaian seperti ini tentunya bukan imej yang mahu dipamerkan kepada rakyat.
Daripada isu Bersatu tidak dijemput ke mesyuarat, kini muncul pula persoalan kuorum, tafsiran perlembagaan dan campur tangan antara parti.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Marzuki Mohamad mendakwa Takiyuddin Hassan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Bersatu berhubung isu korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Menurut Marzuki, jika timbul persoalan mengenai kesahihan Bersatu sebagai sebuah pertubuhan, penjelasan sepatutnya diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau ROS, bukannya daripada Bersatu sendiri.
Malah katanya, hanya ROS mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan sahdi sisi undang-undang.
Marzuki turut menegaskan bahawa sehingga kini Bersatu belum menerima sebarang notis daripada ROS berhubung isu cukup korum mesyuarat MPT.
Justeru katanya, ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu diadakan, Bersatu masih merupakan parti yang sah dan anggota PN yang sah.
Beliau mendakwa keadaan itu turut diakui Pengerusi PN menerusi kenyataan media pada 9 Ogos lalu, dipetik Harapan Madani.
Atas alasan tersebut, Marzuki berkata, Bersatu berhak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Malah beliau menyifatkan kegagalan menjemput Bersatu ke mesyuarat berkenaan sebagai satu pelanggaran serius terhadap Perlembagaan PN.
Marzuki turut berkata MPT Bersatu sudah menggunakan kuasanya di bawah Fasal 27 Perlembagaan parti untuk mentafsir isu cukup korum dan keputusan itu dianggap muktamad di peringkat parti.
Kalau sebelum ini kemelut itu nampak sekadar soal hubungan dalam PN, kenyataan Marzuki kali ini membawa pertikaian ke tahap lebih serius.
Ia bukan lagi soal siapa terasa dipinggirkan, tetapi sekarang sudah masuk soal siapa langgar Perlembagaan gabungan.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=XBlXMy0KwGo&ra=m
