Perkembangan terbaharu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor dilihat membuka satu lagi babak baharu dalam percaturan politik parti itu.
Khususnya ketika hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) semakin tegang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebanyak 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Selangor dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Ia bagi memeterai perjanjian kerjasama yang menyaksikan mereka berperanan sebagai penyokong kerajaan negeri.
Walaupun tanpa mengubah struktur pentadbiran sedia ada.
Sumber parti memaklumkan kerjasama itu bagaimanapun tidak bermaksud Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya ADUN berkenaan kekal sebagai pembangkang dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua pembangkang.
Namun, maasih diberikan hak tertentu seperti ADUN kerajaan.
Langkah berkenaan turut dikaitkan dengan usaha menyelesaikan isu rakyat melalui kerjasama antara wakil rakyat Bersatu dengan kerajaan negeri.
Selain memastikan dasar dan program pentadbiran Selangor dapat dilaksanakan di kawasan masing-masing.
Perkembangan itu hadir ketika Bersatu berdepan ketegangan dengan PN.
Ia susulan selepas parti berkenaan membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung kedudukannya dalam gabungan tersebut.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam afidavit bagi menyokong permohonan semakan kehakiman PN mendakwa Bersatu mempunyai niat untuk melumpuhkan gabungan itu menjelang PRN Melaka.
Dakwaan tersebut merupakan pendirian Takiyuddin dalam prosiding mahkamah dan belum diputuskan sebagai fakta oleh mahkamah.
Sebelum ini, PN mengesahkan menerima dua notis daripada RoS pada 22 dan 23 September berhubung isu yang dibangkitkan Bersatu.
Manakala RoS memberi ruang kepada gabungan itu untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu turut dilaporkan bersedia mengadakan rundingan mengenai pakatan pilihan raya dengan parti lain menjelang PRN Melaka.
Selepas sebelum ini mengambil pendirian berbeza mengenai kerjasama sedemikian.
Pengerusi Urimai, P Ramasamy pula menyarankan Bersatu menggunakan PRN Melaka sebagai medan untuk menguji bentuk kerjasama politik yang lebih luas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau turut mencadangkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil inisiatif membentuk gabungan politik lebih besar.
Bagaimanapun, PH setakat ini menegaskan belum ada keputusan rasmi mengenai kerjasama politik dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
Situasi itu menjadikan perkembangan di Selangor dan rundingan menjelang PRN Melaka antara petunjuk penting terhadap hala tuju baharu Bersatu.
Khususnya ketika parti itu perlu menentukan kedudukannya dalam landskap politik pembangkang serta kemungkinan membentuk kerjasama pilihan raya yang lebih luas.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=h-G9ur6EJig&ra=m
