Tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim dan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disifatkan sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Tegas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam mana-mana pentadbiran negeri, tiada pihak mempunyai kuasa atau mandat untuk melakukan tindakan sedemikian.

“Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada media ketika dalam perjalanan menggunakan kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou pada Rabu.

PMX mengulas krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan yang menyaksikan kemelut berkenaan semakin sukar dirungkai.

Ismail sebelum ini mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Exco negeri itu.

Malah, Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan, Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam isu penurunan takhta Raja yang disifatkannya bukan perkara mudah.

Berkenaan hal menghadap Tuanku Muhriz baru-baru ini, Perdana Menteri menjelaskan, ia dibuat kerana mahkamah memutuskan baginda adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.

Katanya lagi, walaupun kuasa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada keputusan Undang Luak, keputusan berkenaan tidak bersifat mutlak dan perlu mengikut peraturan.

“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita. Jangan dia kata tak boleh campur, bukan campur.

“Tak boleh Undang buat keputusan, tapi Undang buat keputusan itu bukan mutlak, dia kena ikut juga peraturan. Sekarang kita dengar dua-dua, ada dua pihak, satu Undang kata dia Undang, ada Undang kata tak.

“Kita ada Luak dan pandangan kata sebaliknya. Jadi saya kata, putuskan dulu. Kalau semua Undang sudah ikut proses yang betul dan Undang dilantik dia buat keputusan, itu luar daripada bidang kuasasaya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, polemik mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kembali menjadi perhatian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan baginda adalah tidak sah.

Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal mempersoalkan bagaimana proklamasi yang kemudian dinyatakan tidak sah itu boleh diterima dan dijadikan asas tindakan terhadapTuanku Muhriz.

“Macam mana satu proklamasi yang tidak sah boleh diterima oleh Exco dan Menteri Besar untuk menjadikannya sah dan menurunkan Tuanku?” soalnya dipetik Harapan Daily.

Pada 17 September lalu, AGC menyatakan proklamasi itu tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Selain menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

AGC turut menyatakan tiada keterangan bahawa mana-mana faktor hilang kelayakan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada Tuanku Muhriz, manakala sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi itu tidak mempunyai kesan undang-undang.

Sehari selepas pendirian AGC itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan memaklumkan kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi 19 April, selaras dengan pandangan AGC bahawa ia tidak sah.

Namun, pada 20 September, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta selepas baginda mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.

Istana turut merujuk Perkara XXXVIII(5) UUTKNS yang memperuntukkan anggota MMKN selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar, selain mengarahkanIsmail mengemukakan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.

Memetik laporan The Malaysia Press, Noor Aziah menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang serius kerana menurutnya ia bukan sekadar perselisihan politik.

Sebaliknya ia membabitkan institusi Raja dan sumpah taat setia yang dilafazkan Menteri Besar serta Exco.

“Menteri Besar angkat sumpah depan Tuanku. Kemudiannya Exco angkat sumpah. Angkat sumpah bukan perkara main-main,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyifatkan tindakan yang bercanggah dengan ikrar berkenaan sebagai perkara yang serius.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sebelum ini turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah serta menyatakan kerajaan negeri dan Exco tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan baginda.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan mempertikaikan pembatalan pelantikan Exco dengan berkata beliau tidak pernah dirujuk atau menasihati Tuanku Muhriz berhubung pemberhentian mana-mana Exco di bawah Perkara XXXVIII(5) UUTKNS.

Ismail turut berhujah bahawa Perkara XXXVIII(5) perlu dibaca bersama Perkara XXXVIII(4) dan Perkara 40(1), yang menurutnya berkaitan prinsip kuasa atas nasihat, serta berpendirian Exco sedia ada masih sah dan boleh menjalankan tugas seperti biasa.

Pertikaian itu kini tertumpu kepada persoalan tafsiran kuasa di bawah UUTKNS, khususnya kedudukan Yang di-Pertuan Besar, bidang kuasa MMKN serta status Exco selepas pembatalan pelantikan mereka.

Nahh! Nampaknya makin bercelaru dan haru-biru jadinya apabila Menteri Besar dan Exconya sendiri yang menderhaka serta mempermainkan institusi Raja.

Dulu bukan main lagi mendakwa bahawa Pakatan Harapan (PH) yang mahu menjatuhkan dan merosakkan institusi Raja.

Namun, kini sudah jelas terserlah siapa sebenarnya pengkhianat institusi Raja Melayu dan negara.

Sungguh memalukan!

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=K1st9FK45F8&pp=0gcJCS8MAYcqIYzv&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *