MALAYSIA KEKAL TEGAS SEKAT WARGA ISRAEL

Malaysia tidak akan berganjak daripada dasar melarang kemasukan mana-mana warganegara Israel ke negara ini meskipun berdepan kritikan dan tekanan daripada beberapa Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dasar itu bukan sesuatu yang baharu.

Sebaliknya telah dilaksanakan sejak puluhan tahun lalu sebagai pendirian konsisten Malaysia dalam menentang kezaliman, penjajahan dan pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Malah menurutnya, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia mempunyai hak untuk menentukan dasar imigresennya sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

PMX menegaskan, sebarang ugutan atau gesaan supaya Amerika Syarikat mengambil tindakan terhadap Malaysia tidak akan mengubah pendirian kerajaan yang akan terus mempertahankan hak rakyat serta prinsip kemanusiaan sejagat.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa.

Sebaliknya menegaskan negara sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan dan hak asasi manusia, khususnya dalam isu Palestin.

Dalam masa sama, beliau juga menjelaskan pendirian Malaysia bukan ditujukan terhadap masyarakat Yahudi secara keseluruhan.

Tetapi terhadap negara Israel susulan tindakan ketenteraan dan penjajahan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Palestin.

Mengulas hubungan dua hala dengan Washington, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar itu tidak menjejaskan kerjasama Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan diplomatik kerana pendirian negara mengenai Israel telah lama diketahui kerajaan Amerika.

Beliau turut menegaskan, Malaysia akan terus bersuara mempertahankan nilai kemanusiaan dan tidak akan berdiam diri terhadap pembunuhan serta penderitaan rakyat Palestin dan Gaza. 

Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian secara konsisten di semua platform antarabangsa bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin. 

Menurutnya lagi, keamanan hanya dapat dicapai sekiranya keadilan ditegakkan dan pencabulan hak asasi manusia dihentikan. 

Selain itu, Perdana Menteri turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak mengamalkan layanan berbeza terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

Tambahnya lagi, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara yang berkongsi pendirian dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. 

Beliau juga menegaskan dasar negara tidak akan berubah hanya kerana tekanan politik daripada mana-mana pihak. 

Malah, kerajaan akan terus mempertahankan prinsip kedaulatan negara serta hak untuk menentukan dasar luar mengikut kepentingan nasional. 

Pendirian Malaysia berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan keamanan sejagat yang sentiasa menjadi asas dasar luar negara.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=1pojxKXC04c&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *