PH AKUR KEPUTUSAN, JANJI JADI PEMBANGKANG BERKESAN

Pakatan Harapan (PH) mengesahkan akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan gabungan itu memenangi lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, PH menerima keputusan rasmi pilihan raya dengan penuh tanggungjawab dan komited membawa suara rakyat melalui semak dan imbang yang berintegriti di DUN Johor.

Menurutnya, wakil rakyat PH akan memberi tumpuan kepada isu-isu asas yang masih membelenggu rakyat termasuk kos sara hidup, pembangunan seimbang, peluang ekonomi serta kebajikan masyarakat tanpa mengira kawasan atau latar belakang.

Beliau turut menegaskan, PH akan memantau setiap dasar dan pentadbiran Kerajaan Negeri secara konsisten.

Ia bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor dan bukannya hanya tertumpu di kawasan tertentu.

Amirudin turut menyifatkan keputusan PRN Johor sebagai peringatan kepada seluruh jentera PH supaya memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi, memperluaskan pendekatan kepada rakyat.

Di samping memperkemaskan organisasi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Selain mengucapkan terima kasih kepada petugas SPR, anggota keselamatan, pengamal media, sukarelawan dan semua pihak yang memastikan proses pilihan raya berlangsung dengan lancar, aman dan teratur.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berpandangan faktor populariti Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

Khususnya dalam kalangan pengundi muda merupakan antara perkara yang perlu dinilai semula oleh PH.

Bagaimanapun, beliau menegaskan corak sokongan dalam pilihan raya negeri berbeza dengan Pilihan Raya Umum kerana PRU lebih dipengaruhi isu kepimpinan di peringkat Persekutuan.

Menurut Khalid lagi, PH akan mengadakan penilaian menyeluruh terhadap strategi kempen, pendekatan serta pola sokongan pengundi bagi memperkukuhkan kedudukan gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, keputusan PRN Johor menyaksikan Barisan Nasional terus membentuk kerajaan negeri.

Manakala PH kekal sebagai blok pembangkang utama dengan lapan kerusi DUN dan berikrar memainkan peranan semak dan imbang secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Johor.     

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, PH akan terus mendekati rakyat bagi memahami setiap isu yang dihadapi di peringkat akar umbi dan memastikan setiap suara diberi perhatian sewajarnya.

Beliau juga menegaskan, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan memainkan peranansecara aktif dalam membahaskan dasar kerajaan serta mengemukakan cadangan yang membina demi kepentingan rakyat.

Menurutnya lagi, mandat yang diberikan pengundi di lapan kawasan DUN akan diterjemahkan melalui khidmat yang telus, berintegriti dan berterusan.

Malah katanya, PH juga akan memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen bagi memastikan gerak kerja politik dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau turut menambah, keputusan PRN Johor akan dijadikan bahan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, PH menegaskan akan terus mengangkat agenda perpaduan, tadbir urus yang baikdan pembangunan inklusif sebagai teras perjuangan demi kesejahteraan seluruh rakyat Johor.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=NXw9bZabw94&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *