PETALING JAYA – Kanser prostat kekal antara kanser paling kerap menyerang lelaki di Malaysia, namun penyakit ini masih sering dikesan pada peringkat lewat kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang simptom ketika di fasa awal.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr. Sandya Subramaniam dari Pusat Perubatan ParkCity berkata, kanser prostat berlaku apabila sel abnormal berkembang dalam kelenjar prostat yang berfungsi menghasilkan sebahagian cecair air mani. Walaupun kebanyakan kes berkembang secara perlahan, terdapat juga kanser yang lebih agresif dan boleh merebak ke tulang serta nodus limfa.
Menurut beliau, berdasarkan Malaysian Cancer Registry 2017–2021, kanser prostat merupakan kanser ketiga paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki di Malaysia. Risiko penyakit itu meningkat seiring pertambahan usia, dengan dianggarkan sekitar 8.3 hingga 9.3 peratus lelaki berisiko menghidapnya sepanjang hayat. Bagi lelaki berusia 75 tahun ke atas, kadar kejadian boleh mencecah sekitar 140 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Katanya, antara punca utama kelewatan diagnosis ialah sikap lelaki yang hanya mendapatkan pemeriksaan selepas mengalami simptom. Ramai juga menangguhkan saringan kerana bimbang menerima diagnosis penyakit serius, kekangan masa, komitmen kerja, rasa malu membincangkan masalah kesihatan lelaki serta tanggapan bahawa pemeriksaan bukan satu keutamaan.
“Kanser prostat pada peringkat awal lazimnya tidak menunjukkan sebarang tanda. Menunggu sehingga simptom muncul boleh menyebabkan peluang rawatan berkurangan kerana penyakit mungkin sudah berada pada tahap lanjut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan masih wujud salah tanggapan bahawa kanser prostat hanya menyerang lelaki Barat, golongan berada atau individu yang terlalu berusia, sedangkan risiko penyakit ini turut meningkat dalam kalangan lelaki Malaysia apabila usia bertambah.
Dari segi saringan, Dr. Sandya berkata lelaki berisiko purata disaran mula berbincang dengan doktor mengenai pemeriksaan sekitar usia 50 tahun, manakala mereka yang mempunyai sejarah keluarga atau mutasi genetik seperti BRCA1 dan BRCA2 digalakkan memulakan saringan lebih awal, sekitar usia 40 hingga 45 tahun.
Katanya, dua kaedah utama saringan ialah ujian darah Prostate-Specific Antigen (PSA)bagi mengukur paras protein yang dihasilkan prostat dan pemeriksaan rektum digital (DRE) untuk mengesan sebarang ketulan atau perubahan pada kelenjar tersebut. Keputusan ujian PSA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan kanser kerana ia juga boleh berpunca daripada pembesaran prostat, jangkitan atau keradangan.
Beliau berkata, pengesanan awal memberi impak besar terhadap peluang rawatan kerana pesakit yang dikesan pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup hampir 100 peratus selepas menerima rawatan yang sesuai. Sebaliknya, apabila kanser telah merebak ke tulang, nodus limfa atau organ lain, rawatan lebih tertumpu kepada mengawal penyakit, mengurangkan simptom dan memanjangkan hayat pesakit.
Dalam perkembangan rawatan, Dr. Sandya berkata kemajuan teknologi telah meningkatkan keberkesanan pengurusan kanser prostat menerusi pembedahan prostat radikal berbantu robot, radioterapi moden seperti IMRT, IGRT dan SBRT, selain penggunaan terapi hormon generasi baharu, terapi sasaran serta ujian genetik bagi mengenal pasti rawatan paling sesuai mengikut profil pesakit.
Tambah beliau, penggunaan PSMA PET Scan membolehkan pengesanan kanser yang lebih tepat, manakala terapi radioligand Lutetium-177 PSMA muncul sebagai antara inovasi terkini yang menghantar sinaran secara khusus kepada sel kanser dengan kerosakan minimum terhadap tisu sihat di sekelilingnya.
Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr. Najihah Abu Bakar berkata lelaki yang mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersenam juga tidak terkecuali daripada risiko kanser prostat kerana faktor usia dan genetik memainkan peranan lebih besar berbanding gaya hidup semata-mata.
Beliau berkata ramai lelaki tersalah anggap sakit belakang atau pinggul selepas bersenam sebagai kecederaan biasa, sedangkan ia boleh menjadi petanda kanser prostat yang telah merebak ke tulang. Justeru, simptom berpanjangan tidak seharusnya dipandang ringan.
Menurutnya, apabila penyakit memasuki tahap lebih lanjut, pesakit mungkin mengalami aliran air kencing lemah, kerap membuang air kecil terutama pada waktu malam, kesukaran memulakan atau menghentikan kencing, rasa tidak puas selepas membuang air kecil, sakit ketika kencing atau ejakulasi serta kehadiran darah dalam air kencing atau air mani.
Beliau menegaskan bahawa kesedaran mengenai kepentingan saringan awal perlu terus diperkukuhkan kerana diagnosis pada peringkat awal bukan sahaja meningkatkan peluang sembuh, malah mampu mengurangkan komplikasi serta meningkatkan kualiti hidup pesakit dalam jangka panjang.
