Kerajaan memutuskan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kekal pada usia 60 tahun selepas Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan untuk menaikkan had umur persaraan buat masa ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Dato’ Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti keperluan semasa dan berpendapat dasar sedia ada masih sesuai untuk diteruskan.
Keputusan tersebut sekali gus mengekalkan had umur persaraan yang berkuat kuasa sejak Januari 2012.
Justeru, ia memberikan kepastian kepada lebih 1.6 juta penjawat awam mengenai dasar persaraan kerajaan ketika ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun akan dikaji selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Susulan Malaysia dijangka beralih ke arah negara menua, cadangan itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak.
Ini kerana ada yang berpandangan, pengalaman dan kepakaran penjawat awam berusia mampu terus dimanfaatkan.
Manakala sebahagian lain berpandangan peluang kenaikan pangkat dan pengambilan penjawat baharu perlu diberi keutamaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju menjadikan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial sebagai skim sukarela dan tidak lagi diwajibkan.
Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta selepas kerajaan mengambil kira maklum balas pelbagai pihak berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Sumber Manusia dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut bagi memperincikan pelaksanaan skim berkenaan dalam masa terdekat.
Keputusan mengekalkan had umur persaraan pada 60 tahun dilihat memberi kejelasan kepada penjawat awam yang sedang merancang laluan kerjaya serta persediaan kewangan selepas bersara.
Kerajaan turut menjelaskan sebarang perubahan terhadap dasar persaraan perlu mengambil kira pelbagai aspek.
Di mana ia termasuk implikasi kewangan, pengurusan sumber manusia dan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Pada masa sama, faktor keseimbangan antara pengalaman penjawat awam sedia ada dan keperluan melahirkan bakat baharu turut menjadi pertimbangan utama.
Untuk rekod, had umur persaraan 60 tahun juga kekal selaras dengan umur persaraan minimum sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Penjawat awam bagaimanapun masih mempunyai pilihan untuk bersara lebih awal pada usia 55, 56 atau 58 tahun, tertakluk kepada syarat dan kelulusan ketua jabatan.
Sebelum ini, cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun mencetuskan pelbagai reaksi daripada kesatuan pekerja, pakar ekonomi dan masyarakat.
Namun, kerajaan menegaskan keputusan yang dibuat ketika ini tidak menutup ruang untuk sebarang kajian pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan dan perubahan demografi negara.
Buat masa ini, dasar persaraan pada usia 60 tahun akan terus menjadi rujukan utama dalam pengurusan perkhidmatan awam negara.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=GLOJpTXdGyE&ra=m
