Hasrat PAS untuk kembali mengeratkan hubungan dengan UMNO atas nama penyatuan umat dan agama mengundang sindiran.
Terutamanya selepas beberapa pihak mengaitkannya dengan tindakan wakil rakyat PAS yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dibahaskan pada 11 Ogos lalu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan PAS dan UMNOsebagai dua wadah besar orang Melayu-Islam yang sekian lama menjadi tempat umat berteduh.
Namun, kenyataan itu dipersoalkan netizen yang mengaitkan seruan tersebut dengan pendirian PAS ketika perbahasan RCI TH.
Khususnya kerana isu berkenaan menyentuh kepentingan jutaan pendeposit serta persoalan tadbir urus institusi itu.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin pula mendesak PAS menjelaskan pendirian parti berhubung kedudukan kewangan TH pada 2016 serta tindakan meninggalkan sidang khas Dewan Rakyat.
Beliau mempersoalkan sama ada PAS ketika itu tidak memahami kedudukan kewangan TH atau mengetahui masalah berkenaan tetapi gagal mendedahkannya kepada rakyat.
Chong turut merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 2016 yang menyatakan keyakinan terhadap sistem tadbir urus dan prestasi kewangan TH selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan institusi berkenaan.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan RCI, kedudukan kewangan TH ketika itu menunjukkan tekanan besar.
Terutamanya apabila liabiliti melebihi aset dan pengagihan hibah dibuat walaupun kedudukan kewangan tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Laporan berkenaan turut membangkitkan isu kaedah pengagihan hibah serta pengiktirafan kerugian pelaburan bagi tempoh tertentu.
Sehubungan dengan itu, Chong turut mengemukakan empat persoalan kepada PAS.
Antaranya sama ada parti itu bersedia menarik balik kenyataan 2016, meminta maaf kepada pendeposit serta menjelaskan dokumen kewangan yang menjadi asas kepada keyakinan terhadap TH ketika itu.
Beliau turut mempersoalkan keputusan wakil PAS meninggalkan Dewan Rakyat ketika perbahasan RCI berlangsung.
Sedangkan beberapa anggota Kabinet dan ahli Parlimen lain kekal membahaskan laporan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa tindakan PAS itu sebagai satu ‘sandiwara’.
Malah turut mempersoalkan sama ada parti berkenaan enggan membahaskan isu TH kerana tidak mahu menjejaskan peluang bekerjasama dengan UMNO dalam politik termasuk menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Rayer turut mencabar PAS untuk membuktikan komitmen terhadap isu agama dan kepentingan umat.
Antaranya dengan mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab berdasarkan penemuan RCI.
Justeru, kontroversi itu kini menjadikan isu Tabung Haji bukan sahaja persoalan tadbir urus dan kewangan.
Malah kembali menjadi medan pertembungan naratif politik antara PAS, UMNO dan parti-parti kerajaan.
Pada masa sama, seruan penyatuan PAS-UMNO atas nama agama berdepan persoalan lebih besar daripada sekadar kerjasama politik.
Iaitu sejauh mana kedua-dua parti mampu menyelaraskan pendirian apabila berdepan isu berkepentingan besar kepada umat Islam dan negara.
Di media sosial, rata-rata netizen turut mempersoalkan kesungguhan PAS membawa agenda penyatuan atas nama agama.
Khususnya apabila isu Tabung Haji yang membabitkan kepentingan jutaan pendeposit tidak dibahaskan sepenuhnya oleh wakil parti berkenaan.
Malah, ada yang menyifatkan pendirian itu sebagai tidak selari dengan imej PAS yang sering mengangkat isu kepentingan umat Islam sebagai keutamaan perjuangan.
Tamabahan lagi, sebahagian netizen juga mengaitkan perkembangan itu dengan sejarah hubungan PAS dan UMNOyang sering berubah mengikut landskap politik semasa.
Mereka turut mempersoalkan sama ada seruan untuk kembali ‘satu hati’ benar-benar berasaskan kepentingan agama dan bangsa atau lebih kepada percaturan politik menjelang pilihan raya semata.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=-ftIQ_pIvG4&ra=m
