PENUMPANG KLIA BAKAL BERDEPAN PEMERIKSAAN KETAT

JOHOR BAHRU – Pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal diperketatkan secara menyeluruh, termasuk pemeriksaan terhadap penumpang dan bagasi, susulan peningkatan kes penyeludupan dadah di pintu masuk utama negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pengesanan barangan kontraban selain pemeriksaan keselamatan penerbangan yang sedia dilaksanakan.

Menurutnya, pemeriksaan sedia ada lebih tertumpu kepada pengesanan senjata api dan senjata tajam, justeru pendekatan baharu diperlukan bagi menangani ancaman penyeludupan dadah dengan lebih berkesan.

“Apabila melibatkan barangan kontraban, kita akan melakukan penambahbaikan termasuk memperkukuh 17 inisiatif yang akan dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

“Pemeriksaan bakal menjadi lebih ketat, bermaksud dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kita akan memeriksa penumpang dan barangan secara menyeluruh, khususnya bagi destinasi yang dikenal pasti berisiko tinggi berdasarkan profil tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan RTS Link Malaysia-Singapura, Latihan Lapangan Bersama Rentas Sempadan (FTX) 2026, di Depoh Wadi Hana, di sini hari ini.

Pada 28 September lalu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, kegiatan penyeludupan dadah dikesan berlaku hampir setiap hari di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sebanyak 77 kes berkaitan sindiket keldai dadah direkodkan di KLIA dengan 93 individu ditahan dari Januari hingga 15 Oktober lalu.

Kes berkenaan membabitkan rampasan dadah seberat 2,526.28 kilogram yang dianggarkan bernilai RM202.76 juta.

Langkah memperketat pemeriksaan itu dijangka menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan sempadan negara, sekali gus membendung kegiatan penyeludupan dadah melalui laluan udara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *