GAJI MINIMUM RM2,000: MAJIKAN MAHU STRUKTUR GAJI DINILAI SEMULA

KUANTAN – Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 perlu disusuli penilaian semula struktur gaji pekerja sedia ada bagi memastikan keadilan dalam organisasi, selain mengambil kira kemampuan kewangan majikan, khususnya perusahaan yang berdepan peningkatan kos operasi.

Majikan syarikat perunding swasta, Norul Faida Md. Piah berkata, pelarasan gaji tidak seharusnya tertumpu kepada pekerja baharu yang menerima kadar minimum, sebaliknya turut mempertimbangkan pengalaman serta tempoh perkhidmatan kakitangan lama.

Menurutnya, kegagalan menyelaraskan gaji pekerja berpengalaman boleh menimbulkan rasa tidak puas hati apabila jurang pendapatan antara pekerja baharu dengan kakitangan lama semakin mengecil.

Beliau berkata, kenaikan gaji perlu dilaksanakan secara adil dan terancang supaya kebajikan pekerja dapat dipertingkatkan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan syarikat.

Norul Faida berkata, beliau pernah melaksanakan kenaikan gaji sebanyak RM200 kepada semua pekerjanya ketika kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebelum ini.

Sementara itu, pengusaha pusat bimbingan belajar, Sarina Sidek, 44, berkata, majikan memahami keperluan pekerja memperoleh pendapatan lebih baik bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup, namun pelaksanaan kenaikan gaji perlu disesuaikan dengan kemampuan perniagaan.

Katanya, peningkatan kos gaji akan menambah komitmen bulanan syarikat, terutama perniagaan yang mempunyai ramai pekerja serta perlu menanggung perbelanjaan operasi lain.

Di GEORGE TOWN, Naib Presiden Sektor Swasta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Md. Zaimi Muhamad Yusof berkata, pihaknya akan mengkaji secara mendalam kesan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik (EIWU) menyifatkan langkah itu sebagai usaha positif untuk meningkatkan kebajikan pekerja, namun kesannya terhadap pasaran pekerjaan perlu diteliti.

Menurutnya, kebimbangan timbul apabila sesetengah majikan mula mengurangkan jumlah pekerja, termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), sekali gus berpotensi meningkatkan risiko kehilangan pekerjaan dalam kalangan pekerja berpengalaman.

Sementara itu, seorang pengusaha pemprosesan makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 44, berkata, pelaksanaan kadar gaji minimum baharu menjadi cabaran kepada perniagaannya kerana pendapatan bergantung pada jumlah pengeluaran berdasarkan tempahan pelanggan.

Katanya, kebanyakan pekerja di syarikatnya merupakan pekerja sambilan yang dibayar secara harian, manakala kerani dan eksekutif jualan menerima gaji bulanan tetap.

Justeru, beliau akan menilai kedudukan kewangan syarikat dan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan pelarasan gaji dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Dalam pada itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi memberi ruang kepada perniagaan berkenaan menyesuaikan model operasi serta kedudukan kewangan masing-masing.

Langkah itu memperlihatkan keperluan mengimbangi usaha meningkatkan pendapatan pekerja dengan kelangsungan perniagaan, terutama bagi memastikan majikan mampu mengekalkan peluang pekerjaan dan operasi syarikat dalam jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *