JAKARTA – Sebanyak 277,075 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) direkodkan di tujuh wilayah Indonesia yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah setakat 12 Oktober lalu, ketika pihak berkuasa mempergiatkan usaha menangani kesan jerebu terhadap kesihatan awam.
Ketua Biro Komunikasi dan Maklumat Awam Kementerian Kesihatan Indonesia, Aji Muhawarman, berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bagi mengesan peningkatan kes selain memperkukuh kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di kawasan terjejas.
Beliau berkata, kerjasama dengan kerajaan wilayah turut dipertingkatkan menerusi pengawasan penyakit, penyediaan kemudahan kesihatan serta pengagihan bekalan perubatan bagi memastikan penduduk mendapat rawatan sewajarnya.
Setakat tarikh berkenaan, seramai 2,106 petugas perubatan dan kesihatan dikerahkan, manakala lebih 2.8 juta pelitup muka diagihkan menggunakan bekalan simpanan kerajaan pusat dan wilayah.
Menurut Aji, jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah mengandungi zarah halus PM2.5 serta bahan berbahaya lain yang boleh memasuki sistem pernafasan, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan termasuk batuk, sesak nafas dan pemburukan penyakit asma.
Bayi, kanak-kanak, wanita hamil, warga emas serta individu yang menghidap penyakit paru-paru kronik dikenal pasti sebagai golongan yang lebih terdedah kepada kesan buruk pencemaran udara itu.
Selain kesan fizikal, pendedahan berpanjangan kepada jerebu juga berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental, termasuk mencetuskan tekanan dan kebimbangan akibat gangguan terhadap aktiviti harian, pendidikan serta pekerjaan.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan mengehadkan aktiviti luar ketika pencemaran udara meningkat dan memilih aktiviti di dalam bangunan yang mempunyai udara lebih bersih.
Ibu bapa dan penjaga turut disaran memantau perubahan tingkah laku, corak tidur serta tabiat pemakanan kanak-kanak bagi mengenal pasti tanda tekanan yang mungkin timbul sepanjang tempoh jerebu.
Kementerian Kesihatan Indonesia menegaskan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan perlu terus diperkukuh bagi memastikan golongan berisiko mendapat perlindungan dan rawatan sewajarnya sepanjang krisis pencemaran udara itu.
