PENDIDIKAN BUKAN SEKADAR KECEMERLANGAN AKADEMIK

KLANG – Pendidikan perlu dilihat lebih luas daripada pencapaian akademik kerana bidang itu turut berperanan membentuk generasi yang yakin, kreatif, berkemahiran serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) komited menyokong usaha memperkukuh pendidikan dan pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

Menurut beliau, sebagai pihak berkuasa tempatan, MBDK bukan sahaja bertanggungjawab memastikan penyampaian perkhidmatan perbandaran yang cekap dan berkualiti, malah memberi perhatian terhadap pembangunan komuniti, kesejahteraan sosial, pendidikan, kemahiran serta penglibatan masyarakat.

“Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor, K-SEMANIS ’26 dan Majlis Apresiasi Pengiktirafan Prestasi, Inspirasi dan Kecemerlangan Akademik Daerah Klang, PRISMA ’25, di sini.

Dalam pada itu, PRISMA ’25 menjadi platform mengiktiraf pencapaian murid dalam pelbagai bidang, termasuk Pemulihan Khas, Khatam al-Quran, NILAM Lima Bintang, kecemerlangan SPM dan STPM serta pencapaian Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Program berkenaan turut menjadi wadah menghargai usaha warga pendidikan selain membuka ruang kepada perkongsian inovasi dan kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di daerah Klang.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Azmuddin Muhamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *