MSN TEROKA SUKAN BAHARU PACU PINGAT NEGARA

KUALA LUMPUR – Prestasi memberangsangkan beberapa sukan baharu pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuka ruang kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memperluas sumber pingat Malaysia bagi menghadapi temasya akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, kejayaan padel meraih pingat perak menerusi beregu lelaki, selain emas e-sukan, membuktikan cabang baharu mempunyai potensi untuk menjadi penyumbang penting kepada kontinjen negara.

Menurut beliau, perkembangan itu perlu dimanfaatkan dengan memberi perhatian lebih kepada sukan berpotensi seperti seni mempertahankan diri campuran (MMA), luncur ombak dan panjat dinding, di samping terus memperkukuh sukan yang sudah terbukti menyumbang pingat.

“ Kita perlu lebih meneroka supaya kita tidak tertumpu pada satu dua jenis sukan sahaja dan apabila sukan itu gagal, kita akan terkontang-kanting. Strategi ini perlu kita perhalusi dan perluaskan,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Ahad.

Jefri berkata, pencapaian padel amat mencuri perhatian apabila sukan yang baru diperkenalkan pada Sukan Asia itu menyumbangkan perak menerusi gandingan Christian Didier Chin dan Aidan Yunus.

Katanya, e-sukan turut mencipta sejarah apabila Taj Izrin Aiman Taj Madira menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam e-sukan di Sukan Asia menerusi acara Gran Turismo 7 (GT7).

Beliau berkata, MSN bersedia berbincang dengan persatuan berkaitan bagi mengenal pasti bentuk sokongan diperlukan untuk membangunkan atlet serta meningkatkan daya saing mereka.

Pendekatan itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai lebih banyak cabang yang berupaya menyumbang pingat emas dan mengurangkan kebergantungan kontinjen kepada satu atau dua sukan utama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *