PELAJAR BAWA PISAU CETUS CEMAS DI SEKOLAH

ALOR GAJAH – Suasana aktiviti kokurikulum di sebuah sekolah menengah di daerah ini bertukar cemas apabila seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu dipercayai mengejar tiga rakannya sambil memegang sebilah pisau pemotong daging, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, pelajar berkenaan dikatakan mengejar rakan-rakannya dari dewan sekolah sehingga berhampiran surau sebelum berjaya ditenangkan hasil tindakan pantas guru dengan bantuan beberapa pengawas sekolah.

Menurut sumber, guru-guru yang berada di lokasi segera mengawal keadaan dan merampas senjata tajam tersebut sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pelajar mahupun warga sekolah.

Difahamkan, pelajar terbabit dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan memerlukan pengambilan ubat secara berkala. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya sedang membuat semakan lanjut berhubung insiden berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat susulan beberapa insiden keganasan melibatkan pelajar yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor cedera parah selepas dipercayai ditikam antara 14 hingga 16 kali oleh rakan sekolah ketika waktu rehat di kantin.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan sedang menerima rawatan di hospital. Suspek pula telah ditahan, direman dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Insiden berasingan di Alor Gajah ini sekali lagi mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan pemantauan terhadap kesihatan mental pelajar, selain memperkukuh kawalan keselamatan di sekolah bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *