SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengisytiharkan 1 September 2026 (Selasa) sebagai cuti peristiwa khas sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cuti berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada atlet, pegawai, kira-kira 10,000 sukarelawan serta ibu bapa yang memberi sokongan sepanjang temasya berlangsung.
Beliau berkata, kontinjen Selangor mencatat pencapaian membanggakan selepas mengumpul 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan keseluruhan 245 pingat.
“Sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang membantu sepanjang temasya ini, saya berbesar hati mengumumkan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas SUKMA 2026 pada 1 September,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor 2026 di Aneka Walk, Shah Alam, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor melepasi sasaran awal 80 pingat emas, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai juara keseluruhan temasya.
Amirudin turut menyifatkan SUKMA sebagai platform penting untuk mencungkil bakat atlet muda negara selain memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan persahabatan merentasi kaum serta agama.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kesungguhan atlet Selangor dalam menghadapi persaingan dan diharap menjadi pemangkin kepada mereka untuk melangkah lebih jauh serta mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang.
Majlis penutupan berkenaan turut dihadiri Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
