PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan serta-merta pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun bagi mengelakkan kekeliruan dalam urusan perjalanan ke luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu dibuat bagi menyeragamkan tempoh sah laku PMA kepada maksimum 10 tahun, selain menangani kekeliruan berhubung keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditetapkan sesetengah syarikat penerbangan.
Menurutnya, keputusan berkenaan susulan beberapa kes tular membabitkan pemegang PMA yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun dan menghadapi kesulitan ketika proses daftar masuk penerbangan di luar negara.
Katanya, JIM sebelum ini telah merujuk perkara berkenaan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan menerima maklum balas bahawa tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun tidak dihalang.
“Namun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun tidak perlu bimbang, kerana mereka akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku baharu maksimum 10 tahun.
Pemegang pasport terbabit juga akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian bagi memastikan perjalanan mereka tidak terjejas.
Dalam pada itu, JIM akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu warga Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.
JIM turut menegaskan komitmennya untuk menambah baik pelaksanaan PMA serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
