PUTRAJAYA – Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan mula dikeluarkan di semua kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bermula hari ini, sekali gus memperkukuh perlindungan dokumen perjalanan negara daripada ancaman pemalsuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan daripada 49 kepada 94 ciri keselamatan itu bukan sekadar pembaharuan dari segi reka bentuk, sebaliknya merupakan langkah strategik bagi memastikan pasport Malaysia kekal antara dokumen perjalanan paling selamat dan diyakini di peringkat antarabangsa.
Pakar Keselamatan Maklumat, Prof. Madya Dr. Mohamad Yusof Darus berkata, penambahan pelbagai ciri keselamatan fizikal dan digital meningkatkan tahap kesukaran, kos serta masa yang diperlukan sindiket jenayah untuk menghasilkan pasport palsu. Menurutnya, penggunaan hologram, cetakan ultraviolet (UV), elemen forensik, cip elektronik dan data biometrik menjadikan proses pemalsuan jauh lebih kompleks serta memudahkan pegawai imigresen mengesan sebarang cubaan manipulasi.
Beliau berkata, kekuatan sebenar pasport baharu itu bukan terletak pada satu ciri tertentu, sebaliknya gabungan sistem keselamatan berlapis yang saling melengkapi bagi melindungi identiti pemegang pasport dan memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.
Namun, katanya, cabaran keselamatan masa kini semakin beralih kepada aspek identiti digital dan pengurusan data, terutama dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi digunakan untuk memalsukan maklumat biometrik atau dokumen sokongan bagi mendapatkan pasport secara tidak sah.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan terus memperkukuh integriti keseluruhan proses permohonan pasport, termasuk memperketat tapisan identiti dan sistem pengesahan digital bagi memastikan sebarang ruang eksploitasi oleh sindiket jenayah dapat ditutup sepenuhnya.
Pelaksanaan pasport baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh keselamatan sempadan negara, melindungi identiti rakyat serta mengekalkan reputasi pasport Malaysia sebagai dokumen perjalanan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi di peringkat global.
Selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dokumen perjalanan negara, pelaksanaan pasport baharu itu turut dijangka memperkukuh kecekapan pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa serta mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti oleh sindiket jenayah rentas sempadan. Langkah berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan memperkasakan sistem keselamatan negara melalui penggunaan teknologi terkini yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
