Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak semestinya menandakan gabungan itu menuju kehancuran.
Sebaliknya boleh menjadi titik penting untuk melakukan pembaharuan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Mashitah Mohd Udin berkata, PH masih menunjukkan ketahanan politik apabila hubungan antara PKR, DAP dan Amanah kekal utuh meskipun berdepan tekanan serta kemerosotan sokongan pengundi.
Menurutnya, sehingga kini tiada parti komponen PH mengumumkan hasrat untuk meninggalkan gabungan berkenaan.
Ia sekali gus menunjukkan kerjasama antara ketiga-tiga parti masih mempunyai asas yang kukuh.
Beliau berkata, perbahasan DAP mengenai kedudukan parti dalam kerajaan pada Kongres Kebangsaan 16 Ogos ini lebih menjurus kepada peranan dan strategi parti.
Bukannya usaha untuk keluar daripada PH atau menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Perbahasan itu lebih menjurus kepada peranan DAP dalam kerajaan dan bukannya mengenai keluar daripada Pakatan Harapan,” katanya.
Menurut Mashitah, pengalaman politik PH sejak era Pakatan Rakyat, kemenangan bersejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kejatuhan kerajaan pada 2020 sehingga pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 telah membentuk kematangan politik dalam kalangan parti komponennya.
Katanya lagi, perbezaan pandangan antara PKR, DAP dan Amanah dalam isu tertentu tidak semestinya menggugat gabungan itu selagi ketiga-tiga parti masih berkongsi matlamat mempertahankan politik berbilang kaum serta kedudukan PH sebagai gabungan nasional.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang mencatat kejayaan dalam beberapa PRN belum boleh dianggap sebagai gabungan nasional yang benar-benar mantap.
Tambahnya lagi, kerjasama BN-PN ketika ini lebih bersifat persefahaman pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan kerusi dan masih belum diuji sepenuhnya dari segi pembahagian kuasa, pelantikan jawatan serta pembentukan kerajaan selepas kemenangan.
“Momentum pilihan raya tidak semestinya mencerminkan kestabilan sesebuah gabungan politik,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kekalahan pilihan raya wajar dilihat sebagai bentuk teguran elektoral yang memberikan isyarat mengenai perubahan kehendak dan keutamaan rakyat, bukannya semata-mata sebagai hukuman kekal terhadap sesebuah parti.
Dalam konteks PH pula, persoalan utama bukan sekadar mengapa gabungan itu kalah.
Tetapi sejauh mana kepimpinan mampu memahami mesej pengundi dan menterjemahkannya kepada pembaharuan organisasi, dasar serta strategi komunikasi.
PH perlu menilai semula prestasi calon, kekuatan akar umbi, kadar keluar mengundi, isu setempat dan keberkesanan penerangan kerajaan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan sokongan.
Pendekatan itu penting kerana pengundi hari ini semakin bersifat evaluatif, iaitu menilai prestasi kerajaan berdasarkan pengalaman sebenar mereka termasuk kos sara hidup, pendapatan, peluang pekerjaan, perumahan dan kualiti perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, bagi PKR, cabaran utama ialah memastikan perubahan kepimpinan dan perbezaan pandangan dalaman tidak berkembang menjadi krisis institusi.
Parti itu perlu memperkukuh proses regenerasi kepimpinan, memperluas peranan akar umbi serta memastikan kekuatan organisasi tidak terlalu bergantung kepada mana-mana individu.
DAP pula perlu menggunakan proses muhasabah bagi menilai semula strategi politik dan komunikasi tanpa menjejaskan kedudukannya dalam PH.
Semakan terhadap peranan DAP dalam kerajaan tidak semestinya membawa kepada keretakan gabungan.
Malah boleh menjadi ruang untuk merundingkan semula strategi supaya PH lebih berkesan dan diterima oleh kelompok pengundi yang lebih luas.
Selain itu, Mashitah turut berkata, PH masih mempunyai peluang untuk bangkit menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun ia bergantung kepada kemampuan gabungan itu mengambil iktibar daripada kekalahan yang berlaku.
Malah katanya, PH perlu mempercepat agenda reformasi, memperbaiki komunikasi kerajaan serta mengembalikan keyakinan penyokong terhadap perjuangan gabungan itu.
Dalam masa sama, PH tidak perlu meniru BN atau PN untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.
Sebaliknya perlu memperkukuh identitinya sendiri menerusi kompetensi, integriti, reformasi institusi, keadilan sosial dan tadbir urus yang baik.
Kekalahan pilihan raya bukan penamat kepada perjalanan sesebuah parti, tetapi respons terhadap kekalahan itulah yang menentukan sama ada ia mampu bangkit atau terus kehilangan sokongan.
Justeru, PH kini berada di persimpangan penting sama ada membiarkan kekalahan mencetuskan perpecahan atau menjadikannya asas kepada pembaharuan organisasi, peluasan sokongan dan pembinaan semula kepercayaan rakyat.
Apa yang penting, rakyat bukan sekadar mahu mendengar alasan mengenai kekalahan, tetapi mahu melihat perubahan yang boleh dirasai dalam kehidupan seharian.
Jika PH mampu menjadikan teguran di peti undi sebagai momentum untuk berubah, maka ruang untuk kembali menjadi pilihan rakyat pada PRU16 masih terbuka.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=z_aso2g8T5E&ra=m
