Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Ia selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi yang diterima daripada PN.

Dalam kenyataan, RoS memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan notis bertarikh 22 September lalu di bawah subseksyen 13(2) akta sama.

Ia juga bagi memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan berhubung perkara yang dibangkitkan.

Menurutnya lagi, maklum balas daripada PN diterima pada 12 Oktober lalu sebelum pihaknya membuat penilaian terhadap dokumen dan penjelasan yang dikemukakan.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhanmendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis tersebut.

“Ia juga tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

RoS turut menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.

Jabatan itu turut berkata, fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.

Sebelum ini, PN berdepan kemelut dalaman selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan aduan kepada RoS berhubung dakwaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Selain membangkitkan persoalan mengenai status keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Susulan aduan tersebut, RoS menggantung kegiatan PN pada 23 September lalu sementara isuberkenaan diteliti.

PN sebelum ini turut memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar tindakan RoS berhubung status pendaftaran gabungan itu.

Pembatalan pendaftaran tersebut dijangka memberi implikasi kepada kedudukan PN sebagai gabungan politik.

Antaranya termasuk urusan rasmi dan penyertaan dalam pilihan raya.

Namun, tertakluk kepada perkembangan serta keputusan undang-undang selanjutnya. 

Keputusan itu turut mencetuskan perhatian terhadap hala tuju PN dalam mendepani landskap politik negara.

Khususnya ketika gabungan berkenaan berdepan cabaran menyelesaikan kemelut dalaman.

Status pendaftaran PN juga menjadi tumpuan memandangkan gabungan itu menghimpunkan beberapa parti politik yang memainkan peranan dalam blok pembangkang.

Dalam perkembangan berkaitan, tindakan undang-undang yang diambil PN bagi mencabar keputusan RoS dijangka menjadi antara saluran penting untuk menentukan kedudukan gabungan itu dari sudut perundangan.

Sebarang perkembangan lanjut berhubung permohonan berkenaan akan menentukan langkah seterusnya yang boleh diambil PN bagi mempertahankan kedudukan serta kepentingan politiknya.

Pada masa sama, keputusan RoS menekankan kepentingan setiap pertubuhan berdaftar mematuhi peraturan dan tatacara yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan organisasi dilaksanakan secara teratur.

Perkembangan itu turut meletakkan perhatian kepada keupayaan kepemimpinan PN menangani isu berkenaan.

Terutamanya termasuk menyelaraskan pendirian parti komponennya dalam menghadapi cabaran politik akan datang.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=bNtjiJC3PDw&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *